ISKANDAR PUTERI – Polis menahan empat lelaki mengedar dan merampas lebih RM400,000 dadah dalam serbuan di sebuah rumah dan menerusi sekatan jalan raya di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, menerusi serbuan di sebuah rumah di Mutiara Rini pada pukul 2 pagi pada 2 Mac lalu, seorang lelaki tempatan ditahan.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang melakukan pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah seperti serbuk ekstasi seberat 2,268 gram, ketamin (5.5 gram), syabu (1.10 gram), pil Erimin 5 (2.8 gram) dan cecair dipercayai dadah sebanyak 1,730 milimiter.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM380,327, selain sebuah telefon bimbit jenama Infinix GT 10 Pro bernilai RM1,950 turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumarasan, jumlah keseluruhan rampasan termasuk barangan sitaan mencecah RM381,627.
Ujian saringan awal air kencing ujarnya, mendapati suspek positif methamphetamine, manakala semakan lanjut menunjukkan lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Terdahulu tiga pengedar dadah berusia 25 hingga 43 tahun ditahan dalam sebuah kereta jenis Kia Forte menerusi sekatan jalan raya pada awal pagi, 1 Mac lalu.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui 13 bungkusan plastik mengandungi serbuk ekstasi seberat 645.86 gram dengan nilai pasaran RM2,180.
“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi tiada rekod.
“Polis turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM1,950, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM4,130,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan, jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi hotline JSJN di talian 07-5113622 atau 07-5114486 atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). – MalaysiaGazette