KUALA LUMPUR – Seorang guru tadika berdepan detik cemas apabila anaknya berusia enam tahun yang berada di dalam kereta dilarikan individu tidak dikenali di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada jam 6.55 pagi ketika wanita berusia 34 tahun itu telah menghantar anak keduanya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.
Katanya, pada masa sama anak perempuan sulungnya itu sedang tidur ditinggalkan dalam kereta dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci.
“Sebaik keluar dari pusat asuhan, mangsa terkejut apabila mendapati kenderaannya serta anak perempuannya berumur enam tahun yang turut berada di dalam kenderaan itu telah tiada.
“Wanita itu kemudian segera mendapatkan bantuan orang awam sebelum menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, selepas 50 minit kemudian sekitar jam 7.45 pagi, anak mangsa ditemui semula bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan pangsapuri terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati, suspek merupakan seorang lelaki tempatan dipercayai ingin mencuri kenderaan itu dan pada masa sama anak mangsa turut berada di dalamnya tanpa disedari suspek.
“Suspek terkejut mendengar anak mangsa menangis dan terus memberhentikan kenderaan itu serta bertindak mengambil beg tangan mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua telefon bimbit bernilai lebih kurang RM2,000 sebelum melarikan diri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pemeriksaan dijalankan ke atas kanak-kanak perempuan itu mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta tidak diapa-apakan suspek.
Berikutan itu Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette