Ibu kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf (depan sebelah kanan) tiba di perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 05 FEBUARI 2025.

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan kelima kes perbicaraan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memaklumkan Mahkamah Sesyen bahawa ibu kanak-kanak autisme itu gagal menjawab beberapa soalan  mengenai kehilangan anaknya pada 5 Disember 2023.

Bekas pegawai penyiasat kanan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, ASP Nor Zaharuddin Sanip, 42 berkata, beliau mengajukan beberapa soalan termasuk mengenai minat anaknya ketika mengambil keterangannya di Blok R, Apartment Damansara Damai pada jam lebih kurang 10 malam.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Aqharie Durranie Aziz.

Aqharie: Sebelum ini peguam cadang semasa (ASP) baru sampai (saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin) baru mula ambil keterangan, ASP jawab tidak setuju, boleh terangkan?

Nor Zaharuddin: Sebab masa (saya) sampai (Nina) memang sedang ambil percakapan ibunya dalam MPV. Kemudian saya tanya ibunya (tentang) macam mana (Zayn) hilang, bagaimana kejadian berlaku. Saya tanya apa yang Zayn minat, dia (ibunya)  tidak dapat jawab jadi saya arah Inspektor Nina teruskan rakaman percakapan dalam kereta.

Sebelum itu, Nor Zaharuddin yang kini Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Utara, memberitahu mahkamah bahawa fokus siasatan polis pada hari kejadian adalah untuk mencari orang hilang.

Aqharie: Untuk siasatan ASP adakah semua penghuni (Apartment Damansara Damai) adalah suspek?

Nor Zaharuddin: Tiada suspek sebab kami siasatan cari orang hilang sahaja.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela ibu bapa kanak-kanak berkenaan iaitu Haresh Mahadevan, Nir Zaharuddin menafikan menerima tekanan daripada pihak atasan untuk menyelesaikan siasatan kehilangan Allahyarham Zayn Rayyan dengan segera.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, tugasnya pada waktu itu hanyalah mencari orang hilang.

Haresh: Adakah ASP  juga setuju dalam masa menjalankan siasatan dengan Nina, menghadapi tekanan pihak daripada atasan untuk menghabiskan siasatan secepat mungkin?

Nor Zaharuddin: Tidak setuju, tugas saya mencari orang hilang sahaja. Saya maklumkan orang atasan mengenai siasatan orang hilang sahaja.

Haresh: Segala maklumat yang dikeluarkan adalah hasil siasatan?

Nor Zaharuddin: Betul.

Prosiding perbicaraan hari ke-13 ini akan disambung 2 petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here