Kim Soo-hyun

SEOUL- Gelombang budaya batal (cancel culture) kini melanda pelakon Korea Selatan, Kim Soo-hyun, apabila netizen yang marah susulan dakwaan beliau terlibat dalam kontroversi terbaharu membabitkan mendiang pelakon Kim Sae-ron, mula melancarkan boikot terhadap jenama yang diwakilinya.

Tindakan balas ini tercetus selepas ibu saudara Sae-ron mendakwa Soo-hyun pernah menjalinkan hubungan selama enam tahun dengan mendiang.

Katanya, hubungan tersebut bermula ketika Sae-ron berusia 15 tahun sebelum akhirnya pelakon termahal Korea Selatan itu meninggalkannya, selepas mendiang terbabit dengan kes memandu di bawah pengaruh alkohol dan mengalami kejatuhan dalam karier.

Media sosial kini dibanjiri dengan tuntutan supaya syarikat-syarikat menamatkan kerjasama dengan pelakon itu, dengan ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai keterlibatannya yang berterusan dengan jenama-jenama besar.

Mereka turut memberi amaran untuk memboikot jenama terbabit jika tindakan tidak diambil.

“Jika syarikat tidak menyingkirkan Kim Soo-hyun sebagai model, saya akan boikot dan enggan membeli produk mereka,” tulis seorang pengguna.

Pengguna X, @luvmoinks, turut menyuarakan sentimen yang sama dengan menyatakan, “Boikot jenama yang berkaitan dengan Kim Soo-hyun.”

Seorang lagi pengguna, @BuiAnkit, menulis, “Kita tidak perlukan jenama yang menyokong pedofil.”

Begitu juga, @dusdn3218 menasihatkan syarikat supaya bertindak segera, dengan berkata, “Kadangkala pemotongan cepat dan pilihan yang tepat boleh menyelamatkan syarikat anda. Sungguh rugi jika terlepas peluang itu.”

Sementara itu, @AlayyanA ringkas menulis, “Boikot mereka.”

Sentimen umum amat kritikal, terutamanya dalam kalangan netizen Korea Selatan, yang berpendapat bahawa imej Soo-hyun tidak lagi sesuai untuk mewakili sebarang jenama.

Hal ini lebih ketara dalam industri kewangan, di mana kepercayaan dan integriti adalah keutamaan.

Menurut laporan media hiburan, Soo-hyun kini menjadi wajah utama bagi 19 jenama terkenal merentasi pelbagai industri antaranya perkakasan rumah, Cuckoo; kosmetik YOU Beauty; Estee Lauder; Joe Malon dan Shinhan Financial Group serta Shinhan Bank.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here