JOHOR BAHRU – Bekalan minyak masak di Johor stabil dan mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri walaupun berlaku kenaikan harga minyak sawit mentah dunia.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan proaktif sudah diambil sejurus aduan diterima pihaknya yang mendakwa bekalan bahan mentah itu berkurangan di pasaran.
Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan tidak akan terputus dan pemantauan akan dibuat berterusan bagi memastikan bekalan minyak masak itu terus mencukupi walaupun selepas musim perayaan.
“Setakat ini, menjelang Aidilfitri, kita harap dan jamin akan memastikan keberadaan minyak masak ini mencukupi.
“Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa dan penguatkuasaan kita juga sentiasa bersiap siaga dengan disokong gerak kerja oleh Pegawai Pemantau Harga.
“Bukan sahaja tujuan perayaan, kita akan pastikan bekalan ini akan ada selepas itu, jadi jika tahu mana-mana kawasan yang mengalami masalah bekalan, segera adukan pada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Program MySaveFood 2025 di Bazar Ramadan Taman Dahlia di sini semalam.
Lilis Saslinda berkata, berikutan isu bekalan minyak masak mentah itu, KPDN dan kerajaan sudah mengenal pasti punca berlaku kekurangan adalah kerana harga minyak sawit mentah global meningkat.
Susulan itu katanya, pengeluar tidak dapat menampung kos operasi yang turut meningkat.
“Menteri sudah berbincang dan membentangkan kepada Perdana Menteri untuk memberikan insentif khas kepada semua pengeluar bagi menampung kos yang meningkat dalam masa tiga bulan ini.
“Di peringkat negeri pula, hari ini (semalam), kita sudah mengadakan mesyuarat bersama-sama tiga kilang penapisan utama di Johor dan juga bersama Exco, kita sudah berjumpa pasaraya besar untuk lihat dari segi pengagihan bekalan,” jelasnya.
Sementara itu, Lilis Saslinda mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan bazar Ramadan setakat dua minggu penganjurannya di negeri ini, khususnya mengenai harga mahal dan sebagainya.
Mengenai program itu, beliau menyaksikan penganjuran Program BRR di Bazar Ramadan Taman Dahlia yang juga satu daripada lapan lokasi BRR di negeri ini.
Katanya, tujuh lokasi lain BRR di Johor antaranya adalah di Bazar Ramadan Pesta, Batu Pahat; Bazar Ramadan Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dan Bazar Ramadan Dewan Jubli Intan, Muar.
“Di BRR, kita akan kenal pasti pengusaha Menu Rahmah yang menawarkan menu mereka pada harga RM5 ke bawah.
“Ini sekali gus menggalakkan pengusaha menawarkan menu terbaik dengan harga berpatutan bagi membantu orang ramai yang berdepan cabaran kos sara hidup tinggi pada masa kini,” katanya.
Selain itu katanya, program MySaveFood diteruskan tahun ini dan seramai 150 sukarelawan seluruh negeri terbabit dalam menjayakan program berkenaan yang bertujuan memastikan tiada pembaziran makanan jualan di bazar Ramadan.
“Bagi makanan yang masih elok dan tidak terjual, sukarelawan akan kumpulkan untuk diagihkan sama ada ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), atau ke masjid dan surau, selain kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Tahun lalu, sebanyak 600 kilogram makanan dapat kita elakkan daripada pembaziran dan usaha baik ini kita teruskan pada tahun ini pula,” jelasnya.- MalaysiaGazetten.