KUALA LUMPUR – Platform bersepadu maya, Madani Digital Trade (MDT) yang dilancarkan hari ini, mampu mengukuhkan akses pengeksport Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perdagangan digital adalah kunci kepada transformasi ekonomi Malaysia, seperti yang digariskan di dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang sekali gus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“MDT boleh menjadi pengubah permainan, membolehkan PKS mendapat manfaat daripada teknologi seperti data besar dan analitik, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
“Berdasarkan keupayaannya untuk menyepadukan pemegang kepentingan ekosistem rentas sempadan, platform MDT memudahkan promosi eksport dan meningkatkan keterlihatan jenama Malaysia di pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya semasa melancarkan platform tersebut di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Jelasnya, syarikat tempatan boleh mempergiatkan usaha eksport di pasaran antarabangsa menggunakan platform digital untuk gerai pameran maya, mesyuarat perniagaan dan padanan perniagaan, yang memudahkan pembeli dan penjual.
Tengku Zafrul turut menegaskan, sebagai Pengerusi ASEAN kementerian akan menerajui Tonggak Ekonomi ASEAN dengan memastikan mencapai kemajuan dari segi Penyerahan Ekonomi Keutamaan (PED) untuk 2025
“Rundingan DEFA merangkumi pelbagai elemen utama seperti perdagangan digital, e-dagang rentas sempadan, keselamatan siber, ID digital, pembayaran digital, aliran data rentas sempadan dan topik yang muncul.
“Matlamatnya adalah untuk memuktamadkan rundingan menjelang akhir tahun dan membangunkan pelan pelaksanaan yang komprehensif selepas 2025.
“DEFA dijangka menambah sehingga AS$2 trilion kepada ekonomi digital serantau menjelang 2030, akhirnya menyumbang kepada kedudukan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar dunia di dunia dalam garis masa yang sama,” katanya.
MTD merupakan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) , Nazsoft Tech Sdn Bhd dengan sokongan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Fungsi utama MDT termasuk sebagai platform interaksi maya yang menghubungkan perniagaan dengan Pembeli Premium MATRADE dan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) membantu pemadanan antara perniagaan dan mengenalpasti peluang pembeli berpotensi dalam pasaran yang pelbagai.-MalaysiaGazette