KUALA LUMPUR – Malaysia mesih belum menerima maklum balas dari Arab Saudi mengenai permohonan mendapatkan kuota tambahan 10,000 jemaah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya masih menunggu keputusan mengenai perkara tersebut.
“Seperti yang saya maklumkan sebeum ini, saya telah menulis surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabi’ah, untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 (orang).
“Kita ada 4,000,000 jemaah yang sedang menunggu untuk mengisi kuota biasa sebanyak 31,600 tempat,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Majlis Sumbangan kepada Pusat Perubatan dan Hospital di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, setakat ini sebanyak 91 peratus bakal jemaah haji Malaysia telah menghantar surat penerimaan dan menerima tarikh penerbangan masing-masing.
“Manakala bagi sembilan peratus lagi masih belum memberi jawapan sama ada mereka menerima tawaran haji berkenaan atau tidak,” tambahnya.
Mohd Na’im memberitahu, Tabung Haji telah menerima 84,000 rayuan untuk menunaikan haji, sedangkan kuota rasmi yang diperuntukkan hanya 31,600 tempat.
Difahamkan daripada jumlah rayuan tersebut, hampir 80,000 orang jemaah bersedia untuk membayar kos haji sepenuhnya. – MalaysiaGazette