SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk menggerakkan sekolah-sekolah supaya cenderung kepada pembelajaran dan pengajaran dalam bidang baharu iaitu Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan para pelajarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun ia tidak bermakna untuk meminggir pendidikan asas khususnya bahasa, budaya dan agama Islam pada masa akan datang.
“Bagaimana masa depan kita, bagaimana anak-anak kita, bagaimana anak-anak kita dalam bidang Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris, bagaimana kejuruteraan, bagaimana AI di sekolah-sekolah.
“Ini sebabnya mengapa kita buat kejutan supaya sekolah-sekolah kita mula condong, tidak meninggalkan bahasa, budaya, sastera dan Islam sebagai paksi atau asas, tapi harus juga menguasai bidang-bidang baharu ini.
“Kita akan mula memberi tekanan, nanti ada ibu bapa kurang suka, nanti parti-parti pembangkang akan bising, tapi saya nak bagitahu, nak jaga merekakah, nak jaga masa depan bangsa dan negara kita?
“Kalau kita nak selamatkan bangsa dan negara, kita mesti berani ambil tindakan-tindakan walaupun tidak disenangi oleh semua pihak,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2025 bersama Pimpinan Masyarakat Setempat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, jika kerajaan tunduk kepada kritikan pembangkang, sampai bila-bila usaha itu sukar dilakukan.
“Kalau nak dengar celoteh mereka, sampai bila tak boleh jadi kerja. Semua dibuat tak betul, suruh dia buat, dia tak buat, bagi peluang dia perintah, langsung tak buat.
“Yang ada banyak untung…untung…untung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette