Antara dokumen pengenalan diri dan beberapa barangan yang dirampas daripada sindiket pemalsuan dokumen pengesahan kelahiran yang melanggar peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) melalui satu operasi khas ("Ops Tumpang") ketika sidang media di Ibupejabat JPN, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 13 MAC 2025.

PUTRAJAYA –  Sindiket pemalsuan pendaftaran dokumen kelahiran dipercayai aktif beroperasi sejak tiga tahun lalu berjaya dipatahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Ops Tumpang di beberapa lokasi berbeza pada 11 Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi khas itu dilakukan hasil risikan dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama setahun di empat negeri iaitu Putrajaya, Selangor, Perak, dan Pulau Pinang.

“Siasatan mendapati, sindiket ini terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dengan menghasilkan dokumen palsu yang direka dan ditiru bagi menyerupai pengesahan rasmi daripada fasiliti kesihatan swasta yang berdaftar dan beroperasi secara sah.

“Susulan itu, 10 warga tempatan iaitu dua perempuan dan lapan lelaki termasuk empat dalang utama ditahan, melibatkan seorang pengamal undang-undang berusia 55 tahun disyaki orang tengah antara ejen dan pemohon dalam sindiket ini.

“Manakala enam lagi dikenal pasti sebagai pemaklum kelahiran dan turut dirampas dalam operasi terbabit wang tunai berjumlah RM54,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram itu,” katanya dalam sidang media, JPN Putrajaya, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada wartawan ketika sidang media berkenaan dengan Sindiket Pemalsuan Dokumen Pengesahan Kelahiran di Ibupejabat JPN, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 13 MAC 2025.

Katanya, sehingga semalam sebanyak 80 sijil kelahiran yang sah  dengan menggunakan dokumen palsu dikesan menggunakan enam klinik atau hospital swasta yang berdaftar di empat negeri terlibat. 

“Modus operandi sindiket ini melibatkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran lewat kelahiran. 

“Setelah sijil kelahiran yang sah diperolehi, ia akan dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempnyai anak jagaan tidak memiliki pengenalan diri dan kewarganegaraan Malaysia.

“Sindiket ini turut disyaki mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa terlibat,” jelasnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama-sama dengan KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jemen (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias (kanan) menunjukkan beberapa keping Kad Pengenalan yang dirampas oleh penguatkuasa daripada Sindiket Pemalsuan Dokumen Pengesahan Kelahiran di Ibupejabat JPN, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 13 MAC 2025.

Difahamkan, sindiket terbabit disyaki mengambil kesempatan membuat pendaftaran lewat kelahiran bagi mengupah individu sebagai ibu bapa kepada bayi terbabit bagi mengaburi pihak JPN.

Tambah Saifuddin, kes akan disiasat di bawah Seksyen 36(1)(b), Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan JPN tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan akan menyusul susulan  perkembangan siasatan sindiket itu.

Semalam, SPRM menahan individu kerana disyaki terbabit rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warga negara kepada warga negara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua suspek berusia antara 20an hingga 70an ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Op Outlander dan Op Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor, kelmarin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here