Kali terakhir Siti Nurhaliza tampil dengan lagu raya baharu adalah menerusi Lip Lap Raya pada tahun 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas kali terakhir tampil dengan lagu raya baharu adalah menerusi Lip Lap Raya pada tahun 2022, Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza kembali memeriahkan sambutan hari raya dengan kemunculan single terbaharu, Raya Nak Ke Mana?.

Single terbaharu karya Aisha Retno dan RADi menjadi buah tangan terbaharu Siti Nurhaliza dengan garapan lirik Aisha Retno serta Amylea Azizan.

Lagu raya berentak zapin ini mengembalikan nostalgia lagu raya yang pernah dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza namun mendapat sentuhan segar terbitan anak muda dua beradik, Aisha Retno dan RADi.

“Lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya saya dan tahun ini saya berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar,” ujarnya pada majlis pelancaran lagu itu semalam.

Lagu raya berentak zapin iaitu Raya Nak Kemana? mendapat sentuhan segar terbitan anak muda dua beradik, Aisha Retno dan RADi.

Sebagai artis berpengalaman, Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan anak muda kerana yakin setiap pengkarya mempunyai kelebihan mereka tersendiri.

Katanya, Raya Nak Ke Mana? adalah bukti di mana pencipta muda juga mampu menghasilkan lagu raya yang enak didengar, mudah diikuti serta memberikan aura kemeriahan hari raya yang dirindui.

Tambah Siti, pertama kali mendengar demo lagu Raya Nak Ke Mana?, beliau terus memutuskan untuk merakamkan lagu ini.

“Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya.

“Saya sangat berharap agar lagu ini akan diterima pendengar dan peminat seperti koleksi lagu raya lain yang pernah saya nyanyikan,” ujar Siti.

Raya Nak Ke Mana? merupakan lagu terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd.

Lagu itu mula dilancarkan di seluruh platform digital semalam dan video muzik lagu itu kini disiarkan di saluran youtube rasmi Siti Nurhaliza. – MalaysiaGazette

Siti Nurhaliza gembira kerana dapat bekerjasama dengan bakat muda.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here