Tan Sri Mohd Daud Bakar.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberi jaminan kelab itu akan terus berjuang dan berusaha untuk terus kekal di Liga Super pada musim depan.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau turut memaklumkan pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Perlesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak Club Licensing Body MFL.

Malah pihaknya tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan juga tidak pernah menghantar apa-apa surat yang berkaitan memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia.

“Buat seluruh warga Hijau Kuning Sang Kenari KDA FC yang dihormati lagi disayangi. Seperti yang anda sedia maklum, isu mengenai KDA FC tidak akan berada dalam Liga Malaysia musim hadapan sudah menjadi tular dalam media sosial hari ini. Ia bukanlah keputusan pihak KDA FC secara faktanya.

“Saya dan pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Perlesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak Club Licensing Body MFL. Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan kita juga tidak pernah menghantar apa-apa surat yang berkaitan memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia.

“Kami akan terus berjuang dan berusaha untuk terus kekal di Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa.

“Semoga kenyataan ini memberi sedikit pencerahan dan keyakinan untuk semua. Kita akan teruskan usaha tetapi hasil akhirnya adalah dalam ketentuan Allah SWT.

“Saya doakan semua kita dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang dan sentiasa mendoakan yang terbaik kepada pasukan kesayangan kita yang bersejarah dan dekat di hati kita,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan dua pasukan ternama, Sri Pahang dan Kedah bakal tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut meluahkan rasa sedih dengan perkembangan itu kerana menyifatkan dua pasukan itu memiliki sejarah hebat dalam Liga M sebelum ini.

Bagaimanapun Tunku Ismail masih berharap pengurusan Sri Pahang dan KDA dapat mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut kewangan dan kekal bersaing musim depan.

Tunku Mahkota Ismail berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama penyokong JDT yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Johor Southern Tigers. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast