KUALA LUMPUR – Country Heights Holdings Berhad (CHHB), yang telah memimpin sektor hartanah Malaysia selama lebih 40 tahun, kini berdepan dengan cabaran besar dalam menguruskan anak syarikatnya, Mines Waterfront Business Park (MWBP), yang dimiliki oleh Grand Wellness Hub Sdn Bhd.
Pelbagai isu kewangan, perundangan dan operasi yang kompleks telah menjejaskan kelangsungan MWBP yang memerlukan campur tangan segera untuk memastikan kelangsungan operasinya.
CHHB dalam kenyataan berkata, walaupun permohonan untuk menamatkan penggulungan syarikat masih menunggu keputusan mahkamah, namun, MWBP terus berdepan dengan masalah besar yang menjejaskan operasinya.
Ini kerana katanya, dengan hutang hanya sebanyak RM3.8 juta, syarikat berdepan dengan penyewa yang gagal membayar sewa, pertikaian undang-undang dan kekangan daripada institusi kewangan yang enggan membincangkan penstrukturan semula pinjaman.
“Keadaan ini menuntut campur tangan segera untuk mengelakkan kerugian lebih besar,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MWBP yang meminjam RM100 juta daripada Malaysia Building Society Bhd (MBSB) Bank bagi pembangunan blok empat dan lima, kini berdepan masalah serius apabila bank tersebut enggan berbincang mengenai penstrukturan semula pinjaman.
Katanya, walaupun MWBP memiliki aset bernilai lebih RM450 juta, termasuk Mines Waterfront Business Park dan Mines International Exhibition and Conference Centre (MIECC), usaha berterusan untuk mendapatkan penyelesaian yang wajar bersama MBSB belum membuahkan hasil.
Ujarnya, sebuah petisyen penggulungan telah difailkan oleh seorang pembeli Mines Waterfront Designer Suites susulan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan pembatalan Perjanjian Jual Beli 2014.
“Walaupun Mahkamah Tinggi telah membatalkan keputusan tersebut, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen, menyebabkan MWBP digulung.
“Ini berlaku walaupun jumlah tuntutan hutang hanya sekitar RM3.8 juta dan CHHB telah membayar RM380,000 sebagai bayaran sementara. Perkara ini kini dikendalikan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dan Baker Tilly PLT sebagai Pelikuidasi MWBP,” jelasnya.
Dakwanya lagi, antara cabaran besar lain bagi CHHB adalah 23C Life Science, yang menduduki premis MWBP tanpa hak selepas tempoh sewanya tamat pada Jun 2024.
Penyewa itu dakwanya, gagal membayar sewa tertunggak sebanyak RM12.17 juta dan telah menyebabkan gangguan yang tidak perlu, termasuk laporan polis yang menghalang operasi normal MWBP.
“CHHB kini sedang mengambil tindakan undang-undang untuk mengusir mereka dan menuntut bayaran tertunggak.
Dakwanya lagi, selain 23C Life Science, penyewa lain seperti KSF Holding Berhad juga gagal membayar sewa dengan hutang terkumpul sebanyak RM1.04 juta.
Hutang-hutang itu tambah beliau, terus membebankan kewangan MWBP dan memperburuk keadaan kewangan syarikat.
“Berikutan kegagalan penyewa membayar sewa dan bil utiliti, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan notis pemotongan elektrik yang akan berkuat kuasa pada 20 Mac 2025, manakala bekalan air telah dipotong pada 12 Mac 2025,” katanya.
Mengulas lanjut, CHHB menyeru pihak berkuasa, institusi kewangan dan badan pengawal selia untuk campur tangan bagi membantu menyelesaikan isu-isu berkenaan dengan segera.
Katanya, beberapa langkah penting yang diminta termasuk memudahkan perbincangan dengan MBSB Bank bagi penyelesaian penstrukturan pinjaman mengikut prinsip perbankan Islam.
Turut perlu dilaksana adalah memastikan akauntabiliti penyewa yang gagal membayar, terutama mereka yang menduduki premis secara haram.
Ujarnya, ia memberikan sokongan kawal selia segera untuk mencegah gangguan lebih lanjut terhadap projek-projek berimpak besar ini.
“CHHB tetap komited untuk menyelesaikan cabaran-cabaran ini secara telus dan berkesan dan berharap dapat bekerjasama dengan pemegang kepentingan utama untuk mencapai penyelesaian yang mampan.
“Sekiranya isu-isu ini dapat diselesaikan, terutama dengan penyelesaian hutang daripada 23C Life Science, banyak masalah kewangan dapat dikurangkan dengan ketara.
“Walaupun CHHB memiliki aset bernilai lebih RM500 juta di MWBP dan MIECC, syarikat kini berhadapan dengan tuntutan kecil sebanyak RM3.8 juta, dan berharap penyelesaian menyeluruh dapat membawa impak positif kepada kewangan syarikat,” katanya.
Sementara itu, CHHB dan anak syarikatnya terus mempertahankan semua hak mereka dalam menghadapi cabaran tersebut. – MalaysiaGazette