BARU-BARU ini, Lawyers for Liberty (LFL) telah mengadakan sidang media yang diketuai oleh mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkaitan dengan dakwaan rasuah melibatkan beberapa ADUN Sabah.

Mangsa atau Dalang?LFP

Namun, terdapat beberapa percanggahan fakta serta kenyataan yang perlu diperjelaskan bagi memastikan masyarakat mendapat gambaran sebenar tentang kes ini.

Dato’ Albert Tei mendakwa beliau bimbang akan keselamatannya dan pernah diancam, namun persoalannya, adakah beliau pernah membuat laporan polis berkaitan ancaman tersebut?

Jika benar ada ancaman, sepatutnya laporan polis dibuat sebagai bukti yang sahih.

Beliau juga mengakui bahawa memberikan rasuah adalah satu kesalahan, namun beliau tetap melakukannya atas alasan ‘terpaksa’.

Hakikatnya, beliau sendiri yang menawar rasuah kepada ADUN-ADUN berkenaan.

Ini membuktikan bahawa beliau bukan sekadar terperangkap, tetapi secara sedar melanggar undang-undang demi kepentingan peribadi.

Apabila gagal memperoleh lesen penerokaan mineral di Sabah, beliau terus menuduh dan menularkan video, seolah-olah beliau adalah mangsa, sedangkan beliau sendiri yang cuba merasuah pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen tersebut.

Fakta yang jarang didedahkan ialah Dato’ Albert mewakili banyak syarikat yang cuba memonopoli projek mineral di Sabah.

Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) baru-baru ini telah mendedahkan bahawa Dato’ Albert memiliki 13 lesen penerokaan hasil bumi di Sabah, yang menjadikannya sebagai individu utama dalam usaha memonopoli industri mineral di negeri tersebut.

Ini menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar pemberi maklumat biasa, tetapi pemegang kepentingan besar dalam industri ini yang cuba mengawal pasaran secara kartel.

Satu lagi fakta yang diabaikan ialah rekod lampau beliau. Pada tahun 2017 berdepan dengan 105 pertuduhan di bawah Akta Buruh 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 kerana memotong gaji pekerja secara tidak sah, gagal menyediakan slip gaji pekerja dan gagal membayar gaji minimum.

Bagaimanapun, beliau mendapat keputusan DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) dua tahun kemudian.

Dakwaan Lawyers for Liberty Terhadap SPRM

LFL mendakwa bahawa SPRM enggan menyiasat kes ini, namun bila masa SPRM mengatakan ia tidak mahu meneruskan siasatan

Latheefa Koya, sebagai mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, seharusnya memahami bahawa tindakan SPRM sentiasa berpandukan kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan bukannya berdasarkan tekanan politik atau media.

SPRM hanya boleh bertindak berdasarkan bukti kukuh dan dokumen sahih, bukan video yang telah disunting dan hanya diberikan setelah ia ditularkan melalui media.

LFL juga menuntut agar Albert diberikan perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, namun peruntukan akta dengan jelas menyatakan bahawa sesiapa yang terlibat secara langsung dalam rasuah tidak layak untuk perlindungan.

Jika benar Latheefa Koya berpendapat bahawa akta ini perlu diubah, persoalannya, mengapa beliau tidak mencadangkan pindaan ketika beliau sendiri mengetuai SPRM dahulu?

Kesimpulan

Sekiranya Dato’ Albert benar-benar berniat untuk membanteras rasuah, beliau sepatutnya datang ke SPRM lebih awal dan membuat laporan rasmi serta menyerahkan video tulen sebelum ia ditularkan di media.

Jika beliau berbuat demikian, SPRM akan dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa gangguan spekulasi dan tohmahan seperti yang berlaku sekarang.

Oleh itu, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menerima maklumat yang disebarkan dan menilai setiap dakwaan secara objektif berdasarkan fakta serta bukti yang sahih.

Oleh;

Shahbudin Embun

Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Negara, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here