Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendakwa penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di PKR berstatus ‘pending’.

Datuk Puad Zarkashi mendakwa penyertaan Tengku Zafrul masih menjadi teka teki kerana bimbang PKR akan dituduh sebagai parti tikam belakang UMNO.

“Bukan rahsia dia memang mahu menyertai PKR. Tetapi tersangkut tengah jalan kerana bocor lebih awal.

“PKR takut dituduh tikam belakang UMNO. Maka difahamkan keahliannya dalam PKR berstatus “pending”, kata Puad pada hantaran di Facebook, hari ini.

Puad berkata demikian mengulas laporan media berhubung dakwaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu akan bertindak meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, bulan lalu.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, beliau menerima nasihat yang diberikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan hati terbuka.

Ia selepas Ahmad Zahid sebelum ini menasihati Tengku Zafrul supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam parti.

Dalam pada itu, Puad berkata, Tengku Zafrul sudah tidak menghadiri diri ke mesyuarat MKT.

Malah katanya mesyuarat MKT pada Rabu juga tidak dihadirinya.

Mengulas lanjut, Puad turut berkata sekiranya Tengku Zafrul ingin meninggalkan UMNO, ia tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada parti tersebut.

“Kenapa dia mahu keluar UMNO? Dia mahu jawatan Menteri Kabinet kekal? Sebenarnya orang UMNO tidak kisah kalau dia mahu pergi.

“Jangan main mainkan UMNO. UMNO bukan transit politik,” katanya lagi.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan memaklumkan kepada Tengku Zafrul supaya tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan mengenai perkara itu dan mengesahkan Tengku Zafrul masih ahli UMNO.

Pada 9 Februari lalu, Tengku Zafrul dilaporkan akan mengumumkan keputusan ura-ura beliau akan meninggalkan UMNO dalam tempoh terdekat selepas berjumpa Ahmad Zahid.

Tengku Zafrul berkata, beliau akan menemui Presiden UMNO itu bagi membincangkan perkara berkenaan sebelum pengumuman mengenainya dibuat secara rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here