Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Universiti Malaya (UM) terus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terbaik di Malaysia dengan pencapaian kejayaan luar biasa apabila 20 subjek telah disenaraikan dalam Senarai Subjek 100 terbaik dunia dan empat subjek dalam Senarai Subjek 50 terbaik dunia dalam QS World University Rankings by Subject 2025.

Dua subjek baharu yang memasuki kelompok 50 terbaik ialah Pendidikan serta Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan.

Manakala dua subjek lain iaitu Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat serta Sains Data dan Kecerdasan Buatan mengekalkan kedudukan mereka sebagai antara yang terbaik di dunia dalam kelompok subjek 50 terbaik.

UM disenaraikan dalam kelompok 10% terbaik dunia bagi 28 subjek dan secara kolektifnya, sebanyak 41 subjek di UM diiktiraf dalam QS Subject Rankings.

Ini merupakan peningkatan konsisten dan menyeluruh dengan tambahan lima subjek yang diiktiraf dalam tempoh lima tahun terdekat, berbanding dengan 36 subjek yang diiktiraf pada tahun 2021.

Tambahan lagi, sebanyak 38 subjek masih mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai terbaik di Malaysia, meningkat daripada 34 subjek dalam edisi sebelumnya pada 2024.

UM juga merupakan satu-satunya universiti Malaysia yang disenaraikan dalam bidang Pergigian, membuktikan kekuatan universiti ini dalam bidang sains perubatan.

Mengulas mengenai kejayaan UM ini, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor Universiti Malaya menegaskan, fokus kukuh dan teguh universiti dalam meningkatkan standard global tertinggi dalam kecemerlangan akademik dan penyelidikannya.

“Pengiktirafan dan kejayaan baharu UM dalam pemeringkatan global mencerminkan usaha konsisten dan berterusan kami dalam mencapai piawaian dan kualiti tertinggi dalam penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran.

“Pencapaian baharu kami, termasuk penampilan baharu program Pergigian dan Pemasaran serta kejayaan berterusan dalam subjek lain, mengukuhkan misi kami untuk menerajui negara dan dunia dalam meneroka lembaran ilmu dan kepakaran baharu yang akan membentuk wacana dan wadah masa depan yang lebih baik,” katanya.

Tambahan lagi, UM mengekalkan kedudukan yang kompetitif dalam kelima-lima bidang subjek utama, memperlihatkan kekuatannya dalam pelbagai disiplin akademik.

Dalam Sains Sosial & Pengurusan, UM berada di kedudukan ke-71 dunia, diikuti oleh Kejuruteraan & Teknologi di kedudukan ke-79, Seni & Kemanusiaan di kedudukan ke-98, Sains Hayat & Perubatan di kedudukan ke-118, dan Sains Semula Jadi di kedudukan ke-134.

Pencapaian ini menonjolkan impak tenaga akademik bertaraf dunia, dan sumbangan penyelidikan strategik dalam memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara universiti terbaik di Asia dan dunia.

UM turut meraikan pencapaian penting dan membanggakan dengan pengiktirafan subjek baharu dalam kelompok 100 terbaik dunia, dengan penampilan sulung dua subjek khusus iaitu Pergigian dan Pemasaran.

Universiti terus mendominasi di peringkat nasional, menduduki tempat teratas dalam kesemua empat bidang utama: kejuruteraan dan teknologi, sains hayat dan perubatan, sains semula jadi, serta sains sosial dan pengurusan.

Subjek antropologi pula berjaya menembusi kelompok 200 terbaik buat kali pertama, menjadi satu-satunya subjek antropologi yang disenaraikan di Malaysia.

Peningkatan ketara dalam kualiti dan pengiktirafan dalam bidang sains hayat dan perubatan, mencerminkan kepakaran serta standard yang tinggi dalam bidang ini.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here