Sebahagian para sukarelawan yang terdiri dari pelajar dan staf menyediakan bubur lambuk secara gotong royong di kampus UMT.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan 300 bakul Ramadan dan 1,200 bekas bubur lambuk kepada warga kampus dan komuniti setempat sempena ketibaan bulan mulia ini.

Program agihan itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMT dengan kerjasama Nestlé Malaysia yang menyumbangkan bahan-bahan bagi penyediaan bubur lambuk untuk diedarkan kepada masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, program itu mencerminkan komitmen universiti dalam membantu
golongan yang memerlukan khususnya asnaf, anak yatim serta komuniti di sekitar kampus di daerah Kuala Nerus.

“Setiap tahun, UMT sentiasa berusaha mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti kebajikan. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat,” katanya.

Profesor Dr. Suriyani Muhamad mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung kampus UMT sempena program agihan bubur lambuk di perkarangan pintu masuk utama kampus.

Beliau yang mewakili Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, keprihatinan syarikat korporat dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti kampus amat dihargai dan jalinan itu harus diperkukuhkan ke arah mewujudkan rakan strategik dalam pelbagai bentuk program demi kelestarian, kebajikan dan pendidikan.

Sebanyak 300 bakul Ramadan yang mengandungi barangan keperluan termasuk susu, mee segera, produk berasaskan coklat dan bahan makanan lain telah diagihkan kepada penerima asnaf yang layak, manakala 1,200 bekas bubur lambuk diedarkan kepada pelajar, staf serta komuniti yang masuk ke kampus UMT.

Penerima manfaat, Akmal Haikal, 21, yang juga pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan UMT turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Dengan program sebegini, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban perbelanjaan khususnya di bulan ramadan dan saya amat menghargainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast