KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang untuk menjadikan program Iftar@KL sebagai salah satu produk utama yang akan dipromosikan dalam sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan program itu mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancongan kerana ia menampilkan keunikan juadah berbuka puasa serta keistimewaan sambutan Ramadan di Malaysia.
“Berbanding negara lain, bulan Ramadan dan Syawal di Malaysia memiliki keunikan tersendiri kerana bukan hanya disambut oleh masyarakat Islam malah turut diraikan oleh pelbagai kaum dan agama lain.
“Inilah kelebihan yang perlu diketengahkan, kerana program ini bukan sahaja mempamerkan keindahan budaya Malaysia tetapi turut memperkukuhkan imej negara sebagai destinasi mesra Muslim,” katanya dalam sidang media Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka hari ini.
Beliau turut memaklumkan MOTAC akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merangka pelan kontingensi bagi memastikan kelancaran program ini demi keselesaan pengunjung.
Pihaknya juga akan turut mempertimbangkan cadangan bagi pemberian insentif untuk pempengaruh media sosial mempromosikan keunikan juadah serta sambutan Ramadan sempena TMM2026.
“MOTAC akan memperhalusi cadangan ini dan merancang langkah terbaik untuk mempromosikan makanan tempatan terutamanya di bazar Ramadan agar lebih dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.
Bagi edisi Iftar@KL 2025, beliau memaklumkan program tersebut berjaya menarik lebih 35,000 pengunjung meskipun cuaca kurang baik.
Program tersebut berlangsung selama empat hari pada 15, 16, 22, dan 23 Mac di Dataran Merdeka.
Sambutan kali ini bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan, mengukuhkan perpaduan antara kaum serta memperkenalkan budaya dan kesenian Islam kepada pelancong. – MalaysiaGazette