KUALA LUMPUR – Memilih menjadi gelandangan sejak dua tahun lalu, lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Remy sama sekali tidak pernah membayangkan episod-episod duka dilaluinya seorang diri hari ini.
Apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dengan bergelar seorang gelandangan yang hanya mengharapkan belas ihsan daripada orang sekeliling.
Seperti manusia lain, jauh di hati sanubarinya ingin menyambut hari lebaran bersama keluarga tersayang di kampung.

Namun hidup tanpa pekerjaan, lelaki berusia 56 tahun mengakui sudah 10 tahun tidak pulang ke kampung di Muar, Johor. Biasanya pagi raya hanya disambut dengan kawan-kawan senasib dengannya.
Remy ketika ini tinggal bilik di Program Rumah Transit Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum kini lebih selesa menjadi gelandangan.
“Siang hari memang saya tidak bekerja kecuali ganti kawan-kawan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan jika ada kekosongan.
“Macam raya tahun ini, memang saya tidak balik kampung lagi seperti tahun-tahun sebelum ini. Lagi pun wang pun tidak ada dan seperti biasa saya akan menyambut Aidilfitri dengan kawan-kawan.
“Kalau cakap pasal sedih, siapa tidak sedih nasib hidup macam ini,” kata anak sulung dairpada tujuh adik- beradik itu.
Beliau berkata demikian pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Attana Hotels & Resorts (Attana) di sini hari ini.
Seramai 250 golongan gelandangan di Chow Kit menerima bantuan melibatkan makanan dan kit barangan kering kepada golongan gelandangan serta individu kurang bernasib baik di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

Mengulas lanjut, Remy meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang masih mengingati golongan malang sepertinya pada bulan mulia ini.
Pada masa sama, dia mengaku kurang merasai kemeriahan hari raya kerana sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
“Orang gelandangan seperti kami tidak sambut Aidilfitri, hanya sekadar mengharap sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan itu pun sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang dikenali Rosli sudah setahun hidup sebatang kara selepas berhijrah dari kampung di Pekan, Pahang.
Katanya, dia membuat pilihan sendiri selepas lama bekerja di kampung apatah lagi masih bujang tanpa komitmen.
Lelaki berusia 53 tahun itu itu kini tinggal di bilik di Program Rumah Transit Baitulmal MAIWP.
“Walaupun jadi gelandangan, saya masih ada bilik untuk tidur dan bukannya tidur di kaki lima bangunan seperti sebelum ini. Seperti bulan Ramadan ini, saya berbuka puasa di masjid dan sesekali buat kerja sambilan hantar barang.
“Namun saya bersyukur, masih ada pihaknya yang masih sudi memberi sambungan,” katanya. – MalaysiaGazette