GOMBAK – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang melalui tempoh percubaan pengoperasian bermula hari ini berjalan lancar dengan pelaksanaan perkhidmatan hanya menurunkan penumpang dari Pantai Timur.
Pengasas Syarikat & Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn Bhd (TEGAS), Datuk Seri Mohd. Nadzlim Mohd. Noor berkata, ia kerana terminal itu menerima ketibaan penumpang sahaja tanpa melibatkan operasi pelepasan bas ekspres ke mana-mana destinasi.
Menurut beliau, TBG akan beroperasi sepenuh melibatkan pelepasan dan ketibaan bas bermula 20 Mac ini termasuk pembelian tiket di kaunter dan kiosk tiket.
“Kami menjangkakan terdapat ketibaan 18 bas hari ini di mana bas pertama tiba pukul 9.15 pagi dari Temerloh dan bas terakhir pada 8.50 malam.
“Selain itu, kaunter tiket juga akan sibuk bermula esok kerana TBG merupakan terminal gred A di mana boleh menerima ketibaan dan pelepasan penumpang sama ada dari utara, timur dan selatan.
“Namui kami akan lebih fokus kepada destinasi ke Pantai Timur kerana berdekatan dengan negeri di Pantai Timur,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika membuat tinjauan di TBG di sini hari ini.

TBG yang terletak di kawasan strategik di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta berdekatan dengan Plaza Tol Gombak dan Stesen LRT Gombak, merupakan hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Terminal itu juga bakal menjadi hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas, LRT, dan projek rel utama seperti East Coast Rail Link (ECRL) pada masa hadapan.
Mohd. Nadzlim menambah, TBG menyediakan 30 kaunter dan 10 kiosk pembelian tiket dalam usaha memberi kemudahan kepada orang ramai.
Jelasnya, ia bagi mengelak isu yang pernah timbul sebelum ini iaitu tiket palsu dan kewujudan sindiket ulat tiket.
“Sehingga kini secara keseluruhan 103 lot kedai sudah disewa dan hari ini sebanyak 30 kedai sudah beroperasi dan pada minggu depan sebanyak 60 kedai akan dibuka.
“Jangkaan kita selepas Aidilfitri ini keseluruhan pusat beli-belah akan beroperasi,” katanya.

Ia sekali gus meningkatkan kemudahan perjalanan bagi penumpang ke ibu kota dari Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Dengan ruangan yang luas, infrastruktur lengkap dan tersusun termasuk 1,200 tempat letak kereta, TBG tentunya menjanjikan pengalaman menarik serta eksklusif.
Malah terminal itu terdapat dewan serbaguna yang boleh disewa untuk diadakan apa-apa majlis termasuk perkahwinan yang mampu menampung sehingga 2,000 orang dalam satu-satu masa
Bermula daripada pembelian tiket sama ada secara fizikal atau mesin layan diri sehingga maklumat platform untuk menaiki bas semuanya disediakan secara tersusun bagi memudahkan orang ramai.
Ini termasuk juga kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) yang disediakan di TBG seperti tandas, surau serta kemudahan pergerakan golongan ini untuk turun dan naik bas.
TBG menyediakan 3,000 peluang pekerjaan yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengoperasian terminal itu. – MalaysiaGazette
