SHAH ALAM – DAP mencadangkan Kerajaan Perpaduan agar meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan tempoh perkhidmatan seorang Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu melaksanakannya dalam tempoh 24 bulan ini memandangkan ia termaktub dalam salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 (PRU15) lalu.
“Kita bukan minta Anwar berhenti, tetapi pindaan ini akan menjadi legasi kepada beliau dalam sistem pentadbiran kita.
“Parti akan terus berpegang dengan kata-kata bahawa yang mewakili Pakatan Harapan (PH), tiada calon kedua selain Anwar,” katanya.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.
Menurut beliau, sebagai komponen PH, DAP juga akan menyokong dan mencadangkan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan pada PRU ke-16 (PRU16).
Dalam ucapan sama, Loke berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu diharap dilakukan segera, antara lain bagi memastikan pengasingan tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat direalisasikan.
“Ini memang usaha berterusan yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) untuk melihat bagaimana pelaksanaannya di sana,” kata Loke lagi.
Tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, kerajaan sudah memulakan kajian komprehensif berhubung cadangan mengenakan had tempoh maksimum jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Beliau berkata, antara langkah yang telah dijalankan adalah mengadakan sesi libat urus dan kajian perbandingan dengan negara luar.
Malah Azalina berkata, satu ssidang khas Parlimen perlu diadakan di bawah Peraturan 11(3), Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk membahaskan pengehadan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun.
Jelas beliau, pindaan berkenaan perlu dibahaskan memandangkan ia merupakan perkara yang memerlukan perbahasan mendalam dan keputusan Jemaah Menteri. – MalaysiaGazette