Gambar hiasan

DUNIA penyiaran radio mengalami perubahan ketara dalam era digital ini. Juruhebah radio bukan sekadar penyampai lagu, tetapi juga pencipta kandungan dan penghibur. Namun, dalam usaha menarik perhatian pendengar, ada yang mengetepikan etika dan profesionalisme. Persoalannya, mengapa juruhebah hari ini semakin terarah kepada lawak keterlaluan dan gaya penyampaian yang mencemar industri penyiaran?

Fenomena jenaka keterlaluan semakin meresahkan. Ada juruhebah yang ghairah menarik perhatian sehingga menggunakan isu perkauman, agama, dan gender sebagai bahan lawak.

Lawak sebegini bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan tetapi juga berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat. Lebih membimbangkan, ada yang cenderung menggunakan bahasa yang tidak sesuai dan mengetengahkan kandungan yang kurang bernilai, yang boleh menjejaskan kualiti siaran.

Hal ini menghakis profesionalisme penyiaran serta menanam budaya tidak sihat dalam kalangan pendengar, terutama golongan muda.

Juruhebah dahulu: Wibawa dan etika
Suatu ketika dahulu, juruhebah radio adalah suara masyarakat. Mereka menyampaikan maklumat dengan tepat, menghibur dengan santun, dan menjadi perantara antara rakyat dan pihak berkuasa. Tokoh seperti Patrick Teoh, Nasir P. Ramlee, Halim Othman dan Kudsia Kahar menjadi rujukan dalam industri radio tanah air.

Namun, hari ini ramai juruhebah lebih menumpukan kepada hiburan semata-mata. Kandungan sensasi, jenaka keterlaluan, dan bahasa kurang sopan semakin menjadi
kebiasaan. Fenomena ini bukan sahaja mencemarkan imej profesion juruhebah, malah menghakis kredibiliti industri penyiaran itu sendiri.

Peranan juruhebah
Juruhebah adalah duta komunikasi yang berperanan menyampaikan maklumat, membentuk persepsi masyarakat, serta menghiburkan dalam batasan etika. Seorang
juruhebah berkualiti perlu memiliki kefasihan berbahasa, pengetahuan luas, serta kepekaan terhadap isu semasa.

Realiti hari ini menyaksikan ramai juruhebah dilantik bukan berdasarkan kelayakan, tetapi populariti di media sosial. Akibatnya, mutu penyampaian semakin menurun, dan industri radio menjadi sekadar platform hiburan kosong yang tidak lagi menekankan aspek pendidikan dan informasi.

Kembalikan standard kualiti juruhebah radio
Untuk mengangkat semula martabat industri radio, beberapa langkah perlu diambil:
1. Latihan Profesional – Stesen radio perlu memberi latihan kepada juruhebah untuk meningkatkan kemahiran penyampaian dan etika penyiaran.
2. Pemantauan Kandungan – Pihak berwajib harus memastikan program radio mematuhi garis panduan penyiaran.
3. Mengangkat Juruhebah Berwibawa – Keutamaan harus diberikan kepada individu yang berpengetahuan dan beretika dalam bidang penyiaran.
4. Pendidikan Media – Golongan muda yang ingin berkecimpung dalam dunia penyiaran perlu diberikan pendedahan menyeluruh tentang etika dan tanggungjawab juruhebah.

Walaupun pemilihan juruhebah adalah berdasarkan kehendak masyarakat hari ini, namun kita perlu mengekalkan identiti dan matlamat utama penyampai radio. Tidak
perlu terlalu serius, lawak tetap boleh diselitkan tetapi dengan cara yang lebih harmoni dan berhemah agar penyampaian tetap berkualiti dan beretika.

Industri penyiaran perlu berubah tanpa mengorbankan nilai asas yang menjadikan radio sebagai medium dihormati. Juruhebah berkualiti, beretika, dan berwibawa harus diangkat semula agar radio kekal relevan dalam landskap media moden.

Sebagai pendengar, kita mempunyai peranan dalam menentukan hala tuju industri ini. Mahukah kita terus membiarkan radio berkembang dengan hanya mengejar sensasi, atau melihatnya kembali menjadi platform yang dihormati? Pilihannya di tangan kita.

Munirah Ilias,
Pensyarah Jabatan Komunikasi
Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here