KUALA LUMPUR – Sekumpulan pelajar jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA-GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan kaki prostetik kepada bekas chef.
Jurucakap yang juga Ketua Projek “Empowering Lives Through Prosthetic Support”, Uma Devi Arumugam berkata, Fandie Mohd Noor, 45, telah kehilangan kakinya dalam satu insiden yang menyebabkan dia terpaksa berhenti bekerja untuk sekian lama.
“Sebagai seorang chef, pergerakan dan berdiri dalam tempoh lama amat penting dalam pekerjaannya. Namun, tanpa anggota prostetik yang sesuai, dia berdepan kesukaran untuk kembali ke dapur dan meneruskan kerjayanya.
“Kehilangan punca pendapatan turut memberi kesan kepada keluarganya, menjadikan keadaan semakin mencabar. Kami berharap dengan pemberian kaki prostetik ini, Fandie dapat kembali berdikari dan meneruskan kerjayanya sebagai chef,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas beliau, kos prostetik boleh mencecah antara RM10,000 hingga RM50,000 menyebabkan golongan kurang berkemampuan menghadapi kesukaran mendapatkan anggota prostetik.
“Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek ini dengan harapan dapat mengubah kehidupan penerima dan pada masa sama meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai cabaran yang dihadapi mereka yang kehilangan anggota badan,” ujarnya.
Tidak seperti kanak-kanak yang memerlukan masa lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan prostetik, seorang dewasa dengan pengalaman kerja dapat segera memanfaatkannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Uma Devi berkata, inisiatif ini bukan sekadar sumbangan sekali sahaja tetapi dirancang sebagai model CSR yang mampan dan berstruktur.
Jelasnya, pelajar UKM-GSB telah menjalankan kajian terperinci dalam pemilihan penerima, memastikan individu yang dibantu mendapat manfaat maksimum daripada anggota prostetik ini.
“Kita bekerjasama dengan pakar prostetik bagi memastikan kualiti serta keselesaan penggunaannya, selain memastikan sokongan berterusan termasuk latihan dan pemantauan selepas penyerahan.
“Dari segi pembiayaan, projek ini dibiayai menerusi gabungan dana hasil tajaan korporat dan sumbangan awam, menjadikan ia satu usaha yang telus dan berterusan.
“Selain membantu seorang individu, inisiatif ini juga memperluaskan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh mereka yang kehilangan anggota badan, khususnya berkaitan akses kepada prostetik yang berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette