BATU PAHAT – Bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti setempat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘#HusseinPeduli: Semarak Ramadan’ bersama komuniti Sri Medan, Batu Pahat pada 9 Mac 2025 lalu.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UTHM itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTHM, Persatuan Pegawai Pentadbir dan Ikhtisas (PENTAS) UTHM, Pusat Wakaf dan Endowmen UTHM, Pusat Islam UTHM, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM, Jawatankuasa Masjid Sri Medan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sri Medan, Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) Zon 21 & 22 dan Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) Pekan Sri Medan.
Menurut Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UTHM, Abdullah Abduraman, program khidmat komuniti tersebut diadakan bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan strategik dan harmoni antara pelajar UTHM dengan komuniti setempat.

“Program ini diisi dengan beberapa aktiviti bermanfaat antaranya gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan, penyediaan bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat setempat dan majlis ringkas agihan ‘food bank’ serta bantuan kepada ibu tunggal dan pelajar B40 UTHM.
“Turut diadakan, sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Pegawai Pentafsir al-Quran, Pejabat Agama Batu Pahat, Ustaz Mohamad Faliq Izuddin Mohd Rais,” jelas beliau.
Para peserta yang hadir juga berpeluang berbuka puasa beramai-ramai bersama masyarakat setempat di Masjid Pekan Sri Medan, diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut hadir menyempurnakan majlis perasmian, tanda sokongan beliau terhadap penganjuran program sebegitu.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM), Prof. Ts Dr. Abdul Rasid Abdul Razak selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Pegawai Khas Kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Dr. Mohammad Aswad Ithnain dan Wakil Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng, Mohd Razi Mastor.
“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memberi ruang kepada kami untuk menghayati keberkatan Ramadan, malah turut memberi peluang kepada kami menyumbang tenaga dan bakti bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu.
“Komitmen dan sokongan daripada semua pihak yang terlibat membuktikan bahawa program sebegini mampu menjadi platform terbaik dalam merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti, selari dengan aspirasi UTHM dalam melahirkan mahasiswa yang cakna dan bertanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette