KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan tradisi tahunan pada bulan Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 4,000 pek bubur lambuk epada kakitangan, pelajar, dan orang awam menerusi penganjuran program ‘Bah! Sungkai Kita Bubur Lambuk 2025’.
Menurut kenyataan dari Pusat Minda Lestari (PML), program yang mendapat sokongan tajaan dari Adabi Sdn. Bhd. itu dijayakan oleh kakitangan dari PML, Fakulti
Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Fakulti Pengajian Islam (FIS), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) serta Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS).
“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS yang terlibat,
sekali gus dapat bersama-sama meraih keberkatan dan fadhilat yang ada dalam bulan Ramadan.
“Selain itu, memperkukuh amalan jariah dengan berkongsi rezeki bersama seluruh komuniti kampus khususnya pelajar-pelajar UMS,” menurut PML.
Penyediaan bubur lambuk tersebut diadakan secara bergotong-royong di kawasan perkarangan PML, yang kemudiannya diagihkan ke pejabat dan kolej kediaman di
kampus UMS. – MalaysiaGazette