BINTULU, 3 Mac – Institut EkoSains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Universiti Pertanian Tokyo (Tokyo NODAI) telah menganjurkan Program Tokyo NODAI–UPMKB Borneo Mangrove Exploration Student Inbound 2025 bagi memperkukuhkan kerjasama pemuliharaan bakau di Sarawak.
Program yang berlangsung di Kuala Sibuti, Sarawak, menghimpunkan 10 ahli Mangrove Research Club Tokyo NODAI untuk mengkaji dan mengalami sendiri ekosistem bakau di Borneo.
Pengarah IEB, UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus berkata, program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan ekosistem
bakau dan usaha pemuliharaannya.
“Melalui program ini peserta dapat memahami secara langsung kepelbagaian biologi bakau di Sarawak serta cabaran pemuliharaannya. Kajian lapangan ini juga membolehkan mereka memperoleh pengalaman praktikal dalam usaha konservasi,” katanya.
Pengarah Program, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, kerjasama antarabangsa seperti ini penting dalam memelihara ekosistem unik Borneo, selain memperkukuh hubungan akademik antara UPMKB dan Tokyo NODAI.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga menyumbang kepada usaha pemeliharaan ekosistem bakau yang kritikal bagi keseimbangan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti,” katanya.
Pelajar jurusan perhutanan dari Tokyo NODAI, Naoki Kato berkata, program ini merupakan pengalaman pertama dalam meneroka ekosistem bakau di Borneo dan memperkukuhkan pemahaman dalam bidang perhutanan
“Saya berharap program ini dapat dijadikan sebagai inisiatif tahunan untuk Mangrove Research Club bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.
Selain itu, program ini turut dianjurkan bersama Pejabat Hutan Wilayah Miri merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPMKB dalam memperkukuh kajian ekosistem bakau serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi antarabangsa dalam bidang konservasi alam sekitar.
Sepanjang program, para pelajar mengambil bahagian dalam sesi taklimat pendidikan dan aktiviti lapangan.
Wakil Jabatan Hutan Sarawak, Ajiah Hamjah telah memberi penerangan mengeni garis panduan pengurusan hutan di Sarawak.
Di Hutan Bakau Kuala Sibuti, wakil Oasis Timber Co., Ahmah Bujang memberikan penerangan tentang kaedah penuaian dan pengurusan bakau secara mampan mengikut
garis panduan Jabatan Hutan Sarawak.
Kemudiannya, di Sibuti Wildlife Sanctuary, wakil dari Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abd Ajis Taib dan Sunni Mali berkongsi tentang langkah-langkah pemuliharaan yang dilaksanakan untuk melindungi ekosistem bakau.
Dalam pada itu, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar mengenai pemuliharaan bakau, malah mengukuhkan komitmen IEB, UPMKB dalam memupuk
pertukaran akademik antarabangsa ke arah kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette