KOTA KINABALU – Dua subjek yang ditawarkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tersenarai dalam kelompok terbaik dunia menerusi penarafan QS World University Rankings by Subject 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, subjek kejuruteraan petroleum berada di kedudukan antara 101-150 terbaik dunia, satu peningkatan berbanding di kedudukan 151-160 pada tahun 2023.
Satu lagi subjek, iaitu subjek pertanian dan perhutanan terus mengekalkan kedudukan seperti tahun sebelumnya dengan berada di kelompok 251-300 terbaik dunia.
Tambah beliau, pencapaian kedua-dua subjek tersebut telah menaikkan lagi nama UMS di peringkat antarabangsa, dan UMS akan terus menyampaikan perkhabaran baik menerusi pelbagai pencapaian cemerlang seumpama itu. – MalaysiaGazette