Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan parti pembangkang supaya tidak menjadikan cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun sebagai politik perkauman, sempit dan dangkal.

Menurut Anwar, roh dan sifat jawatan Perdana Menteri sudah jelas seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, pembangkang perlu membaca buku tulisnya ‘Membangun Negara Madani’ sebelum membuat ulasan terhadap cadangan berkenaan.

Cadangan terbabit, katanya, seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’ dan ia bukan perkara baharu.

“Menghadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut. Malah, ia adalah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.

“Perdana Menteri turut meminta mana-mana ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.

“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik,” kata Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri harian hari ini.

Anwar turut menyarankan pembangkang membahaskan syor terbabit dengan sihat dan penuh tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan.

Beliau menjemput semua pihak untuk memberikan input bagi membina sistem yang telus dan adil sekali gus  memastikan cadangan itu memberikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur.

Ia bagi mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Malah terdapat juga beberapa negara yang telahpun melaksanakan pendekatan ini seperti negara jiran Indonesia sebagai contoh.

“Selain daripada itu, langkah menghadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Sementara itu selepas lawatan ke Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan minggu lalu Perdana Menteri akan turun ke Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah minggu ini.

Anwar yakin percaya siri pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak penting bagi mengemaskini serta menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

Tumpuan dan fokus antara lain soal kebajikan rakyat dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, projek tebatan banjir , jalan raya selain beberapa isu lain yang akan terus dipantau oleh agensi-agensi terlibat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here