KUANTAN – Empat penumpang bas Rapid Kuantan, mengalami kecederaan selepas bas itu terbabit kemalangan dengan sebuah lori di simpang Panching, Sungai Lembing, di sini pagi tadi.
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataannya berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.50 pagi membabitkan bas laluan 500 (Hab Bandar – Sungai Lembing).
Selain empat penumpang bas, katanya kapten bas serta pemandu lori itu juga mengalami kecederaan dan kesemua mangsa telah dihantar ke hospital dengan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
“Semasa kejadian, terdapat lima orang penumpang di dalam bas. Rapid Bus amat kesal atas insiden ini dan mengutamakan kebajikan semua yang terlibat.
“Kami akan berhubung dengan mangsa serta keluarga mereka untuk memberikan sokongan yang diperlukan,” kata kenyataan itu lagi.
Pada masa yang sama, katanya Rapid Bus akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan agar punca kejadian dapat dikenal pasti dan langkah-langkah penambahbaikan dapat diambil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette