KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diminta mengkaji semula Akta FINAS 1981 dan mencadangkan pindaan bagi menyelaraskannya dengan perkembangan industri filem dan hiburan yang semakin pesat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan artis veteran bagi mendengar kebimbangan dan tuntutan mereka.
“Dengan perubahan besar yang berlaku dalam industri filem, termasuk kemunculan penstriman dalam talian, adalah penting untuk meminda Akta FINAS bagi mencerminkan perubahan tersebut.
“Pada minggu hadapan, saya akan mengadakan pertemuan dengan persatuan artis veteran untuk membincangkan permintaan yang telah mereka kemukakan (hari ini),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Raya Sama-Sama di Dewan Cendekiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), di sini, hari ini.
Program anjuran Kementerian Komunikasi itu dihadiri oleh lebih 50 artis veteran, pengamal media dan kakitangan IPPTAR.
Dalam majlis tersebut, Presiden Pemangku Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Aziz, menyeru agar kerajaan mempertimbangkan untuk menyediakan skim pencen bagi artis veteran, memudahkan permohonan mereka untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan memberikan rawatan kelas pertama atau kedua di hospital awam.
Sandakiah turut meminta agar kerajaan memberi pengiktirafan dengan menampilkan artis veteran dalam persembahan pembukaan acara besar dan mengatur sekurang-kurangnya dua artis veteran dalam setiap episod program yang dihasilkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan kuota sebanyak 20 hingga 30 peratus untuk melibatkan artis veteran dalam projek-projek akan datang dan memastikan mereka dibayar mengikut kadar bayaran yang ditetapkan.
Fahmi menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada PKAVM dan menyampaikan sumbangan kepada 50 artis veteran serta 26 pengamal media bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette