Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyampai sumbangan Alumni UMT sebanyak RM2000.00 kepada Pengetua Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Ahmad Irsyad Mustaqim Zamri.

KUALA NERUS –  Pusat Alumni, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Persatuan Alumni UMT menganjurkan program Jalinan Kasih Ramadan: Iftar Amal Alumni UMT di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

Program yang berlangsung penuh bermakna ini telah menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Persatuan Alumni UMT,
penyelaras alumni fakulti, serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT.

Seramai 89 anak yatim diraikan dengan penuh mesra dan kasih sayang dalam program Jalinan Kasih Ramadan: Iftar Amal Alumni UMT.

Iftar amal ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni UMT dan masyarakat setempat, di samping menzahirkan rasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Pengetua Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Ahmad Irsyad Mustaqim bin Zamri, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa
syukur dan penghargaan atas keprihatinan pihak UMT terhadap kebajikan anak-anak yatim di pusat tersebut.

“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan Pusat Alumni UMT yang sudi meluangkan masa dan berkongsi rezeki bersama anak-anak di sini. Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka dari segi kebajikan, malah turut menyemai kasih sayang dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung ialah sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan miskin Darul Akhyar oleh Timbalan Naib Canselor HEPA UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain.

Sesi ramah mesra ini turut memberi ruang bagi mereka berkongsi pengalaman dan membina hubungan erat antara pengurusan HEPA, alumni dan anak -anak yatim.

Selain itu, turut diadakan slot motivasi ringkas ramadan yang disampaikan oleh Mohamad Daniel Haiqal Mohamad Omar yang merupakan staf Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM), HEPA.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, HEPA, Profesor Madya Chm. Dr. Mohd Zul Helmi Rozaini berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Alumni dalam memperkukuh peranan dalam masyarakat.

“Kami berharap program sebegini dapat diteruskan setiap tahun sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap anak-anak yatim. Ia juga memberi peluang kepada alumni untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua alumni dan warga UMT yang sudi menyumbang bagi menjayakan program ini. Hasil sumbangan yang diterima
sebanyak RM2,100.50 disampaikan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here