Dr. Azman Kasan (kiri) meninjau spesis keli albino yang diternak di kolam sekitar Kuala Nerus.

KUALA LUMPUR – Bila sebut ikan keli, ramai yang terus terbayang ikan hitam berlendir yang popular di restoran mahupun kedai makan. Tapi tahukah anda, ikan keli juga ada versi albino yang jauh lebih menarik?

Dengan warna putih kekuningan dan mata merahnya yang memukau, ikan keli albino bukan sekadar cantik, malah mempunyai nilai tersendiri dalam dunia akuakultur dan ikan hiasan.

Ikan keli albino ini sebenarnya hasil mutasi genetik yang menyebabkan ia kekurangan melanin yang mana pigmen yang memberi warna kepada kulit dan mata, sebab itulah ia berwarna putih atau kekuningan dengan mata merah yang cukup memukau.

Walaupun nampak berbeza, ikan ini tetap tahan lasak, cepat membesar dan mudah diternak seperti ikan keli biasa. Tak hairanlah, ia semakin mendapat perhatian dalam industri ikan hiasan dan ternakan.

Menurut penyelidik di Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan, Universiti Mlaaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Ts. Dr. Nor Azman Kasan, spesis ikan albino itu boleh dikategorikan sebagai kumpulan yang jarang ditemui khususnya di Terengganu.

“Ya, ikan keli albino sering dianggap sebagai ikan yang jarang ditemui atau rare, kerana albino merujuk kepada ikan yang mempunyai kekurangan pigmen melanin
dalam badan mereka yang menyebabkan ia kelihatan putih atau kekuningan dengan mata merah. Ikan keli albino boleh didapati di pasaran dengan harga yang lebih
tinggi berbanding dengan ikan keli biasa,” katanya.

Selain itu, ikan keli albino juga lebih mudah diperhatikan dalam air kerana warna badannya yang cerah. Ini memberi kelebihan kepada penternak kerana lebih senang untuk memantau kesihatan ikan dan mengesan sebarang masalah seperti luka atau penyakit kulit.

Permintaan terhadap ikan keli albino semakin meningkat, bukan sahaja sebagai sumber makanan tetapi juga untuk hobi dan kajian saintifik. Pelbagai faktor yang
menjadikan haiwan unik ini begitu mendapat perhatian dalam penggemarnya.

Antara kelebihan yang terdapat pada ikan albino ini adalah disebabkan keunikan warna dan pertumbuhannya yang baik dan kumpulan albino ini sering dijual pada
harga lebih mahal daripada ikan keli biasa.

Selain itu, warna cerah dan mata merah menjadikannya pilihan eksotik bagi peminat ikan hiasan. Ia menjadi daya tarikan utama dalam akuarium kerana warnanya yang kontras dengan persekitaran air dan tumbuhan akuatik.

Mengulas lanjut, Dr. Azman yang juga Timbalan Pengarah AKUATROP UMT berkata, oleh kerana kekurangan pigmen, organ dalaman ikan itu lebih mudah diperhatikan
serta menjadikannya spesimen yang berguna dalam bidang penyelidikan.

Selain sebagai ikan hiasan dan kajian, ujar Dr. Azman, ikan keli albino juga mendapat tempat dalam industri penternakan kerana kadar pertumbuhannya yang
pantas dan kemampuannya bertahan dalam pelbagai keadaan persekitaran.

Sama seperti ikan keli biasa, ikan keli albino juga mudah diternak dan dijaga. Namun, tetap memilik elemen penjagaan penting yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang masalah.

Kumpulan albino ini tidak mempunyai perlindungan pigmen, yang mana menjadikan ikan ini lebih sensitif kepada cahaya terang. Jika dibela dalam akuarium, pastikan pencahayaan tidak terang bagi mengelakkan tekanan terhadap ikan, tambahnya.

Dari sudut pemakanan pula, diet ikan keli albino ialah pelet ikan, cacing dan serangga kecil untuk memastikan kesihatan serta pertumbuhan yang baik. Diet yang
kaya dengan protein dapat membantu pertumbuhannya menjadi lebih optimum.

Ikan keli albino memerlukan suhu air yang stabil, sekitar 26-30°C, serta tahap pH antara 6.5 hingga 8.0. Perubahan mendadak dalam suhu atau pH boleh
menyebabkan tekanan kepada ikan dan menjejaskan kesihatannya.

Ikan keli albino bukan sekadar ikan keli biasa yang berwarna putih kerana ia memiliki nilai estetika, ekonomi dan saintifik yang tinggi.

“Sama ada untuk ternakan atau dijadikan ikan hiasan, ikan ini tetap menarik perhatian ramai. Dengan penjagaan yang betul, ia bukan sahaja menjadi pilihan menarik untuk akuarium, malah dapat menjadi sumber pendapatan lumayan bagi penternak,” ujar Dr. Azman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here