Mphd Hairi menyampaikan sumbangan dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri ADUN Larkin di Masjid Kampung Melayu, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilantik sebagai Duta Sukan Johor bakal menjadi pemangkin dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai kuasa baharu sukan di Malaysia.

Pengurusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah yakin Chong Wei sebagai duta sukan akan memberi impak besar kepada pembangunan atlet muda negeri ini.

“Pelantikan ini bukan sahaja menyuntik semangat generasi muda untuk mencontohi kejayaan jaguh sukan terdahulu, tetapi juga mengukuhkan lagi perancangan Johor dalam melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

“Chong Wei adalah ikon sukan negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kehadirannya mampu memberi inspirasi serta bimbingan kepada bakat-bakat muda di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri ADUN Larkin di Masjid Kampung Melayu, di sini malam tadi.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa Chong Wei antara legenda sukan global yang disenaraikan untuk dilantik sebagai Duta Sukan Johor.

Perkara itu dinyatakan ketika sesi soal jawab bersama peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Cafeteria JDT pada 13 Mac lalu.

Selain bekas jaguh badminton dunia itu, beberapa atlet bertaraf antarabangsa turut dicadangkan untuk menggalas peranan yang sama, termasuk Sonny Bill Williams, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill.

Mohd Hairi turut memaklumkan bahawa beliau bersama-sama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Chong Wei dalam masa terdekat bagi membincangkan peranan serta hala tuju pembangunan sukan badminton di Johor.

Katanya, lebih ramai atlet dunia dijangka dilantik sebagai duta sukan negeri dalam usaha memperkasakan pembangunan atlet muda di Johor.

“Insya-Allah kita akan melihat lebih ramai lagi individu bertaraf dunia menjadi duta sukan Johor. Ini satu langkah yang baik bagi membangunkan generasi muda, memberi motivasi kepada mereka serta mendorong mereka mencontohi kejayaan atlet-atlet hebat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pihaknya turut menyenaraikan atlet dari pelbagai sukan termasuk bola keranjang, kriket dan hoki.

“Kehadiran mereka ke Johor pastinya menarik minat serta memberi dorongan kepada pemain muda untuk lebih maju dalam bidang sukan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here