KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Kumpulan BTC Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan
penyelesaian makanan yang mampan dan mampu milik untuk pelajar.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, melalui projek kerjasama itu UMS dan Kumpulan BTC Berhad akan bekerjasama dalam menyediakan makanan berkhasiat, berkualiti tinggi serta mesra alam yang dapat menyokong kesejahteraan dan prestasi akademik pelajar.
Selain itu katanya MoU itu juga akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi dalam sistem perkhidmatan makanan serta pembangunan produk melalui
Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.
“Dengan gabungan kepakaran akademik dan pengalaman industri, UMS dan Kumpulan BTC akan meneroka teknologi baharu dan metodologi dalam keselamatan
makanan, pemprosesan dan kawalan kualiti yang akan memacu inovasi dalam bidang ini.
“Kerjasama ini membuktikan komitmen UMS terhadap kecemerlangan akademik dan penglibatan industri serta memastikan pelajar dan penyelidik kami mendapat
manfaat daripada pengalaman industri makanan serta menyumbang kepada inovasi dan kelestarian,” katanya ketika majlis menandatangani MoU bertempat di Wisma
BTC, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BTC, Datuk Haji Abdul Kadir ME Sikkandar turut menyatakan keterujaan beliau dalam kerjasama tersebut.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan UMS dalam membangunkan penyelesaian makanan yang mampan. MoU ini membolehkan kami berkongsi kepakaran dalam perkhidmatan makanan bagi membawa perubahan yang bermakna dalam sektor akademik dan komersial.
“MoU ini turut menggalakkan kolaborasi dalam program fakulti dan keterlibatan komuniti. UMS dan Kumpulan BTC Berhad akan menyokong program akademik, bengkel,
serta inisiatif perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada pelajar, profesional industri, dan masyarakat umum bagi menghubungkan dunia akademik dengan
industri dan memastikan hasil penyelidikan dapat digunakan secara praktikal,” katanya.
Kerjasama tersebut turut membuka peluang pertukaran dan pemerkasaan staf dalam berkongsi kepakaran dan amalan terbaik, sekali gus dapat meningkatkan
pembangunan profesional, kemahiran serta pertumbukan kerjaya dalam sektor sains makanan dan pemakanan. – MalaysiaGazette