Penuntut UTHM mengagihkan tong sampah beroda 240 liter untuk kegunaan peniaga dan orang ramai di bazar.

KUALA LUMPUR – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan SWM Environment sekali lagi menganjurkan kempen elak pembaziran makanan #Jangandahterhantukbaruterngadah sepanjang bulan Ramadan bagi mengelakkan pembaziran makanan.

Kempen yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan SWCorp itu bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan, sekali gus memanfaatkan lebihan sisa dengan bijak.

Ketua Projek Kempen #Jangandahterhantukbaruterngadah, Ts. Dr. Roslinda Ali yang juga Pensyarah Kanan FTK berkata, masalah pembaziran makanan tidak asing lagi di Malaysia, terutamanya semasa bulan Ramadan.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sisa makanan yang dibuang pada bulan Ramadan melonjak naik sekitar 15 hingga 20% setiap tahun berbanding bulan-bulan biasa.

Manakala pada tahun 2023, kira-kira 3,000 tan sisa makanan yang dibuang setiap hari semasa bulan tersebut.

Pasukan memberi penerangan serta menyampaikan mesej kesedaran tentang kepentingan mengurangkan pembaziran makanan.

“Makanya pada tahun ini, kempen #Jangandahterhantukbaruterngadah dilaksanakan melalui beberapa pendekatan iaitu dengan mengadakan lawatan ke gerai dan bazar Ramadan untuk memberi penerangan serta menyampaikan mesej kesedaran tentang kepentingan mengurangkan pembaziran makanan.

“Selain itu pihak kami turut mengagihkan tong sampah beroda 240 liter untuk kegunaan peniaga dan orang ramai di bazar bagi memudahkan mereka membuang sisa makanan, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang dibuang ke tapak pelupusan.

“Semua sisa makanan yang terkumpul di dalam tong sampah akan dihantar ke Pusat Kompos MPM di Sabak Awor, Muar untuk diproses dan dijadikan sebagai baja kompos yang menjadi sumber bernilai untuk tanah dan pertanian,” jelas beliau.

Inisiatif tersebut tidak hanya mengurangkan beban di tapak pelupusan tetapi juga memberikan impak positif terhadap sektor pertanian dengan menyediakan bahan yang memperkaya tanah dan meningkatkan produktiviti tanaman.

Tambah Dr. Roslinda, pada tahun ini, pihaknya berusaha untuk melancarkan satu kempen yang boleh memberi impak positif dan terpahat dalam ingatan masyarakat setempat supaya mereka dapat bersama-sama memainkan peranan dalam menangani isu pembaziran makanan yang semakin meruncing di Malaysia.

Beliau berharap melalui pendekatan yang komprehensif ini, ia dapat mencetuskan perubahan yang nyata dan berkesinambungan dalam mengurus sisa makanan serta memelihara alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here