KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) akan terus memperkukuhkan agenda reformasi terutamanya dalam usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Ia selaras dengan komitmen Perdana Menteri dalam memperjuangkan reformasi sistem pendidikan tinggi serta memperkasakan suara mahasiswa sebagai pemangkin perubahan dalam negara.
Sehubungan itu, Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, satu Jawatankuasa Bertindak Pemansuhan AUKU akan diwujudkan dalam pada itu untuk merangka segala gerak kerja berkenaan dengannya.
“AMH percaya pemansuhan AUKU adalah langkah penting dalam mengangkat martabat mahasiswa serta memberikan mereka kebebasan akademik dan politik lebih luas,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Pada 17 Mac lalu, AMH mengadakan pemukiman khas sejurus pelantikan Woo Kah Leong sebagai Ketua Pemuda AMH baharu.
Pemukiman ini bertujuan memperkukuh hala tuju dan perjuangan sayap anak muda selaras dengan agenda reformasi negara.
Selain itu, kata Ammar, AMH komited untuk memastikan suara anak muda didengar dan dijadikan keutamaan dalam dasar-dasar kerajaan demi masa depan Malaysia yang lebih progresif dan inklusif.
“Justeru, AMH akan terus memperjuangkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada anak muda.
“Ia termasuk memperkukuh demokrasi kampus, memperbaiki akses kepada pendidikan berkualiti dan memperjuangkan hak serta peluang ekonomi yang lebih adil bagi generasi muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette