JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk seorang wanita dihadapakan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi tiga pertuduhan memiliki dan mengedar dadah pelbagai jenis dadah dengan berat kasar lebih 31 kilogram, awal bulan ini.
K Satish Kumar, 32; B Letchumanan, 43; S Pavatraj, 18, dan C Lavanya, 30, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama bagi mencapai niat telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 31,900 gram.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah apartment di Jalan Tebrau 1, Tebrau pukul 12.15 tengah malam pada 5 Mac lalu di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kempat-empat tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kesemua tertuduh secara bersama-sama didapati memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 13.50 gram dan nimetazepam dengan anggaran berat kasar 2.20 gram.
Perbuatan mereka itu dilakukan pada hari, waktu dan tempat yang sama bagi pertuduhan pertama.
Oleh itu, mereka dituduh melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Keempat-empat tertuduh hendaklah dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih dari sembilan sebatan, jika disabit kesalahan.
Mereka juga boleh dihukum bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan didenda tidak lebih RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh 18 Jun sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.- MalaysiaGazette