KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu sindiket penyelewengan Gas Petroleum Cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah premis sekitar Jalan Kampung Jawa Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan oleh KPDN Putrajaya pada pukul 7 petang itu dilakukan selepas tiga minggu risikan di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, premis dijadikan stor haram bagi menjalankan aktiviti pemindahan gas LPG bersubsidi untuk isi rumah ke dalam tong LPG berkapasiti 50 kilogram bagi kegunaan industri.

“Sebanyak 608 tong LPG disita dengan nilai anggaran RM14,565. Pasukan serbuan turut menemui peralatan seperti hos penyambung yang dipercayai digunakan dalam aktiviti ‘decanting’ (pemindahan gas),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu turut dirampas, termasuk tiga lori dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM200,000.

Menurutnya, empat lelaki termasuk seorang warga asing berusia 25 hingga 45 tahun yang bekerja di premis itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Premis berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak dua bulan lalu.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here