PERISTIWA Nuzul al-Quran merupakan detik bersejarah yang membuka lembaran baharu kepada umat manusia. Ia bukan sekadar peristiwa penurunan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi merupakan pengisytiharan rahmat Allah kepada seluruh alam. Al-Quran diturunkan bukan hanya sebagai kitab bacaan atau mukjizat yang agung, tetapi sebagai panduan hidup yang menyuluh jalan keluar daripada kegelapan kepada cahaya petunjuk, dari kekeliruan kepada kebenaran.
Al-Quran membawa solusi menyeluruh kepada kehidupan manusia. Ia memberi panduan dalam segenap aspek kehidupan — individu, keluarga, masyarakat bahkan dalam membina sebuah negara yang bertunjangkan keadilan dan rahmat. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (lurus), dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman…” (Surah Al-Isra’: 9).
Ini membuktikan bahawa al-Quran adalah sistem hidup yang lengkap, bukan hanya dibaca atau dihafaz, tetapi perlu diamalkan dan dihidupkan. Generasi awal Islam – para sahabat dan tabi’in – dimuliakan Allah kerana mereka memandang al-Quran sebagai kitab kehidupan. Mereka tidak melihat al-Quran hanya dari aspek mukjizat atau keindahan bahasanya, tetapi mereka mendekatinya sebagai peta hidup, sebagai panduan membentuk diri yang bertakwa, keluarga yang sakinah, masyarakat yang harmoni dan negara yang adil. Contoh terbaik dapat kita lihat pada diri para sahabat seperti Abdullah ibn Umar dan Abdullah ibn Mas’ud.
Abdullah ibn Umar, seorang sahabat yang terkenal dengan sifat wara’ dan ketelitiannya dalam mengamalkan sunnah, begitu berhati-hati dalam mengamalkan setiap ayat al-Quran. Diriwayatkan bahawa beliau mengambil masa bertahun-tahun hanya untuk menghabiskan Surah al-Baqarah, kerana beliau tidak akan berpindah kepada ayat seterusnya melainkan setelah memahami dan mengamalkannya. Ini menunjukkan betapa seriusnya beliau dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan, bukan sekadar bacaan.
Begitu juga dengan Abdullah ibn Mas’ud, seorang sahabat yang sangat hampir dengan Rasulullah SAW dan dikatakan sebagai antara yang paling fasih membaca
dan memahami al-Quran. Beliau pernah berkata: “Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, tiada satu ayat pun dalam al-Quran melainkan aku tahu di mana ia
diturunkan dan dalam keadaan apa ia diturunkan”. Ibn Mas’ud bukan hanya menguasai ilmu, tetapi menjadikan al-Quran sebagai prinsip dalam kehidupannya.
Beliau mendidik generasi selepasnya untuk hidup dengan roh al-Quran, dan beliau sendiri sangat tegas dalam menentang penyelewengan terhadap isi kandungannya. Melalui contoh dua tokoh ini, jelas kepada kita bahawa generasi awal menjadikan al-Quran sebagai sumber pembentukan peribadi dan masyarakat. Mereka hidup dengan Al-Quran dan melihat dunia melalui pandangan al-Quran. Inilah sikap yang perlu kita hidupkan kembali dalam masyarakat hari ini.
Namun, realiti umat Islam kini memerlukan anjakan paradigma dalam memandang al-Quran. Kita perlu kembali melihat al-Quran sebagai kitab pembentukan — bukan
hanya alat untuk menyembuh penyakit atau menghalau syaitan, tetapi sebagai asas dalam pendidikan diri, penataan rumah tangga, pembinaan masyarakat beradab dan pentadbiran negara yang sejahtera. Selagi al-Quran hanya tinggal sebagai hiasan atau bahan tilawah tanpa tadabbur dan pengamalan, selama itulah umat akan terus
tenggelam dalam krisis identiti, sosial dan kepimpinan.
Kita perlu sedar bahawa al-Quran adalah ‘kilang’ yang menempa kemenjadian manusia. Ia membentuk insan-insan unggul, pemimpin adil, masyarakat bertanggungjawab dan negara yang dirahmati. Jika generasi hari ini mahu kembali kepada zaman keemasan, maka kuncinya ialah kembali kepada al-Quran — bukan sekadar kembali membaca, tetapi kembali menghidupkannya dalam realiti kehidupan.
Semoga peringatan Nuzul al-Quran tahun ini menjadi titik perubahan buat kita
semua, untuk menjulang kembali al-Quran sebagai panduan hidup yang sebenar, demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Oleh: Dr. Mohd Shafiq Sahimi
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)