KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam ditahan reman selama enam hari sehingga 23 Mac akan datang selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2,500 sebagai ganjaran untuk membantu menyelesaikan kompaun ubah suai rumah tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Perintah reman itu telah dikeluarkan oleh Majistrest Syed Farid Syed Ali terhadap suspek selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira jam 2.00 petang, semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Jun 2024 dengan menawarkan ‘bantuan’ kepada seorang pemilik kediaman yang dikenakan kompaun kerana melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran PBT.
“Sebagai balasan, suspek disyaki menerima rasuah berjumlah RM2,500 menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette