MELAKA – Jumlah pembayar zakat fitrah bagi pengguna beras jenis super special import dan basmati di Melaka meningkat setakat 17 Ramadan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, peningkatan 20 dan 30 peratus itu berkemungkinan kerana kesukaran mendapatkan beras tempatan atau trend pembelian gred beras yang lebih baik.
“Agak mengejutkan juga tahun ini kadar zakat fitrah RM15 (beras super special import) dan RM22 (beras basmathi) menjadi pilihan masing-masing meningkat 30 dan 20 peratus.
“Ini mungkin juga kesan daripada kesukaran mendapatkan beras super special tempatan (kadar RM7) atau trend penggunaan gred beras yang lebih baik sudah meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Tautan Kasih Ramadan Busana Aidilfitri Asnaf anjuran Zakat Melaka dan Public Islamic Bank Berhad di sebuah pusat pakaian terkenal di Taman Bukit Piatu Mutiara di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman. Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.
Mengulas lanjut Mohamad Azmi berkata, peningkatan itu sekali gus diharap dapat membantu mencapai sasaran kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.5 juta tahun ini berbanding RM6.3 juta tahun lalu.

“Dari segi kutipan zakat pula, kira-kira 70 peratus daripada 700,000 umat Islam di Melaka lebih gemar melunaskan kewajipan Rukun Islam Ke-4 itu secara bersemuka melalui 1,078 amil syarak yang dilantik.
“Alasan mereka adalah mahu melafazkan akad zakat di hadapan amil dan ini sebenarnya terpulang kepada cara masing-masing selagi kewajipan itu ditunaikan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 210 anak-anak fakir, miskin dan yatim daripada 42 buah sekolah di Melaka diraikan dengan pembelian set kelengkapan baju serta duit raya. – MalaysiaGazette