Gambar hiasan

SUNGAI PETANI, – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan yang ditikam sehingga cedera parah di sebuah kampus institusi pengajian tinggi (IPT) dekat sini, semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret M. Kalaiarasi di Hospital Sultan Abdul Halim di sini, berikutan suspek sedang mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan pada jarinya akibat bergelut dengan mangsa yang dikatakan teman wanitanya.

Tempoh reman tersebut adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun cedera parah akibat ditikam oleh rakan lelakinya dalam kejadian di sebuah kampus IPT dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail, yang mengesahkan penahanan lelaki itu, memberitahu bahawa suspek merupakan bekas penuntut IPT tersebut, manakala mangsa masih menuntut di situ.

Katanya sebelum kejadian, suspek telah berjumpa dengan mangsa pada pukul 10.30 pagi semalam untuk berbincang mengenai hubungan mereka.

Namun, mangsa dikatakan tidak mahu meneruskan hubungan tersebut.

“Suspek yang marah telah menikam mangsa di belakang badan dan juga leher dengan menggunakan pisau yang dibawanya. Suspek melarikan diri namun ditangkap selepas kejadian,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here