NIBONG TEBAL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sistem pertahanan dunia kini telah rosak dengan keganasan seolah-olah diizinkan susulan lebih 322 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza hari ini.

Beliau menegaskan, meskipun dalam tempoh gencatan senjata, keganasan terhadap rakyat Palestin tidak pernah berhenti.

“Sebenarnya kita tidak setuju bunyinya (gencatan senjata), sepatutnya menghentikan serangan ganas terhadap rakyat termasuk wanita dan kanak kanak khasnya.

“Sekarang ada usaha perdamaian tetapi pembunuhan masih berterusan. Ini maknanya sistem pertahanan dunia ini sudah rosak (kerana) keganasan itu diizinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di pekarangan Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah di Simpang Ampat di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas mengenai pendirian Malaysia, Anwar menegaskan negara mengecam kekejaman tersebut dan akan terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Kita akan berikan bantuan yang kita mampu dari aspek kebajikan dan kemanusiaan..tapi apa yang sangat kita kesalkan (serangan) berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Tidak ada langsung perikemanusiaan, jadi kita doa mudah-mudahan Allah SWT melindungi keluarga mangsa dan  mencucuri rahmat ke atas para syuhada,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari, lapor Anadolu Ajansi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here