Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kadar dividen sebanyak RM5,000 kepada semua ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma), hari ini

KUANTAN – Seramai 1,456 ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) menerima dividen bermula hari ini bagi prestasi kewangan tahun 2024.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, faktor harga sawit yang stabil dan pengurusan koperasi yang efisen membolehkan mereka mendapat dividen lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Menurutnya, setiap ahli akan menerima RM5,000 bagi setiap unit ladang yang dimiliki, meningkat berbanding RM4,500 pada tahun lalu.

”Pembayaran interim bagi satu unit ladang akan bermula hari ini bagi menjaga kebajikan ahli dan membantu ahli membuat persediaan menyambut Aidilfitri hujung bulan ini.

“Manakala baki bayaran akan disalurkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Kosma ke-40 pada 21 Jun depan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, ketika ini, terdapat 12,638 unit ladang KOSMAosma, dengan jumlah keseluruhan dividen yang diagihkan sebanyak RM63.19 juta.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.

Jelas Wan Rosdy, pembayaran dividen itu berdasarkan prestasi kewangan kukuh Kosma, yang mencatatkan pendapatan RM224.88 juta dengan keuntungan bersih RM134.17 juta bagi tahun kewangan 2024.

Peningkatan kadar dividen tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, kerajaan negeri terus komited menyokong dan memperkasakan sektor koperasi demi kesejahteraan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here