Seorang lelaki melakukan pemeriksaan gigi pada Program Bersama Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perasmian Program Tuisyen Percuma PPR Pangsapuri Simpang Perdana, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 NOVEMBER 2024.

SETIAP tanggal 20 haribulan Mac akan diadakan sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia (World Oral Health Day). Tema sambutan pada tahun ini ialah “A happy mouth is… a happy mind” yang bermaksud kesihatan mulut yang baik memberi kesan kepada pemikiran dan minda yang sihat. Sambutan Hari Kesihatan mulut diadakan pada setiap tahun agar masyarakat menjadi lebih peka terhadap penjagaan mulut dan gigi.

Kebersihan mulut dan gigi yang buruk akan menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan dan boleh menyebabkan keyakinan kendiri menjadi lebih rendah. Selain itu, bau mulut yang tidak menyenangkan boleh memberi kesan terhadap perhubungan antara pasangan dan rakan taulan.

Tema ini dipilih kerana terdapat kaitan yang rapat diantara kesihatan mulut dengan kesejahteraan badan dan minda. Penyakit mulut atau kerosakan gigi boleh menyebabkan kehidupan seharian kita terganggu seperti kurang selera makan dan gangguan tidur.

Keadaan ini boleh memberi kesan terhadap fizikal dan mental seseorang. Selain itu, kualiti hidup juga akan meningkat sekiranya mempunyai kesihatan mulut yang baik. Seseorang boleh bercakap, makan dan ketawa dengan gembira tanpa kerisauan dan ketidakselesaan dalam mulut.

Persekutuan Pergigian Sedunia (FDI World Federation) yang dianggotai oleh beribu-ribu doktor gigi di seluruh dunia, menyarankan beberapa prinsip di dalam penjagaan kesihatan mulut. Antaranya ialah memberus gigi dua kali sehari dengan mengunakan ubat gigi berfluorida selama sekurang-kurangnya 2 minit setiap sesi.

Pastikan juga ruang antara dua gigi dibersihkan dengan mengunakan tali floss atau berus interdental. Selain itu, lakukan pemeriksaan gigi secara berkala untuk mengesan kerosakan atau sebarang masalah pergigian yang mungkin ada. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan gigi daripada dicabut akibat kerosakan yang teruk.

Mengambil diet yang sihat dan seimbang juga dapat membantu memperbaiki kesihatan mulut. Elakkan makan makanan dan minuman yang manis seperti minuman dalam tin, teh tarik, sirap, gula-gula, coklat, kek dan sebagainya.

Gantikan minuman manis dengan air kosong bukan sahaja baik untuk kesihatan mulut, tapi boleh mencegah penyakit seperti kencing manis. Tambahan lagi, berhenti tabiat merokok dan minuman alkohol juga dapat mengelakkan kejadian kanser mulut.

Mengikut kajian, kejadian kanser mulut banyak disebabkan oleh pengunaan tembakau dan minuman beralkohol. Selain itu, pengunaan alat pelindung mulut juga didapati baik untuk kesihatan mulut. Alat pelindung mulut amat digalakkan semasa melakukan sukan lasak seperti seni beladiri dan sukan ekstrem.

Secara kesimpulannya, kesihatan mulut bukan sahaja satu keperluan tetapi merupakan satu hak bag i setiap ahli masyarakat. Setiap daripada kita wajar mendapat rawatan pergigian yang berkualiti dan terkini.

Oleh: Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz dan
Dr Iman Azmuddin,
Pensyarah pergigian Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here