KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan 45 warga asing memasuki Malaysia tanpa memenuhi syarat kemasukan dalam satu operasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Operasi selama tiga jam bermula pada pukul 9 pagi itu tertumpu di balai ketibaan antarabangsa dan melibatkan pemeriksaan ke atas 115 warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 36 warga Bangladesh dan sembilan lelaki wargan Pakistan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk memasuki negara ini.
Kesemua mereka telah dibawa ke pejabat unit pemantauan untuk siasatan lanjut sebelum pihak berkuasa memutuskan mereka tidak dibenarkan mendarat di Malaysia.
AKPS dalam kenyataan hari ini berkata, operasi itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen (ATKPI), Arahan Pentadbiran, serta peraturan-peraturan semasa.
Sepanjang operasi dijalankan, keadaan di KLIA terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
AKPS akan terus komited untuk memperketat kawalan keselamatan di KLIA bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan imigresen negara sentiasa dipertingkatkan. – MalaysiaGazette