BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi perempuan berusia sebulan memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung.
Nathalie Amanda Anak Ningkan yang berasal dari Bau, Sarawak itu disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nathalie Amanda didapati mengalami masalah kesukaran bernafas sejurus dilahirkan.
Katanya, tahap oksigen dalam badannya telah menurun secara mendadak sebelum dikejarkan ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk mendapatkan oksigen tambahan.
“Doktor kemudian mengesahkan bayi menghidap beberapa masalah jantung yang serius, termasuk transposisi arteri besar (TGA), kecacatan septum ventrikel (VSD), penyempitan aorta dan hipoplasia aorta.
“Pembedahan jantung dengan segera perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa anak tunggal dalam keluarga itu.
“Pembedahan tersebut perlu dilaksanakan di hospital pakar di Semenanjung Malaysia, namun keluarganya tidak mempu menampung perbelanjaan yang keseluruhannya sebanyak RM120,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sui Hau, pihaknya berbesar hati membantu mengumpul dana daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan.
“Sebahagian lagi iaitu kos penerbangan untuk ibu dan bayi ke Semenanjung Malaysia akan ditampung pihak hospital di Sarawak, manakala kos perjalanan dan penginapan ditanggung sendiri.
“Bapa bayi, Ningkan Anak Dickie berusia 36 tahun bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan rendah dan ibunya, Norline Anak Saban, 38, tidak bekerja selepas bersalin,”
“Oleh kerana keadaan mendesak, bayi itu telah selamat diterbangkan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan dijangkan menjalani pembedahan pada hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau di laman web www.onehopecharity.org.
Untuk bertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette