KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan secara rasmi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah lebih awal.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan berkata, ia bagi memastikan semua pihak terlibat terutama pengundi yang berada di luar Sabah dapat membuat persiapan dan merancang perjalanan pulang untuk menunaikan hak mereka memilih tampuk kepimpinan kerajaan negeri.
Menurutnya, pengumuman awal tarikh pembubaran DUN juga secara berkesan akan memberikan masa mencukupi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan pihak berkuasa terlibat untuk membuat persiapan logistik dan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
Selain itu, tambahnya, ia juga akan membantu semua pihak yang ingin bertanding dalam pilihan raya membuat persiapan agar kempen berjalan secara adil dan saksama.
“Ketiadaan tarikh yang jelas akan menyukarkan pengundi luar merancang perjalanan mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu menempah tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan harga yang terlampau tinggi.
“Tiket penerbangan boleh mencecah ribuan ringgit. Ramai daripada mereka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi kerana kos perjalanan yang tinggi serta kekangan cuti bekerja atau belajar.
“Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi dan tidak mengabaikan hak politik rakyat Sabah yang berada di luar negeri,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Kelima Belas (PRN-15), peratusan turun mengundi hanya sekitar 66 peratus dengan kajian turut menunjukkan peratusan mengundi yang rendah dalam kalangan generasi muda di bawah umur 30 tahun.
Tambahnya, pemantauan BERSIH sendiri mendapati hanya sejumlah 20 daripada 925 mahasiswa Sabah di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dapat pulang mengundi pada PRU-15.
Dalam masa sama, ujarnya, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (Sabah) yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan terdapat 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia
“Jumlah ini bukanlah jumlah yang kecil dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengambil kira keperluan pengundi-pengundi Sabah yang berada di luar Sabah untuk menjalankan tanggungjawab demokratik mereka,” katanya.
Sementara itu, BERSIH menegaskan, hak mengundi adalah hak asasi setiap warganegara dan sebarang halangan kepada akses pengundian mesti diminimumkan.

Dalam masa sama, pihaknya menyeru semua pihak termasuk masyarakat sivil dan parti politik untuk bersama-sama mendesak agar pilihan raya negeri Sabah kali ini lebih telus dan inklusif, dengan memastikan akses yang lebih baik kepada semua pengundi tanpa diskriminasi.
Sebelum ini, Hajiji dilaporkan berkata, PRN-17 Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober depan.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Sabah masih mempunyai tempoh sehingga Oktober depan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN. – MalaysiaGazette