Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Cadangan DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun perlu diperincikan, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas itu berkata, cadangan itu perlu berlandaskan asas penting di mana ia lebih mengutamakan prinsip yang diredai oleh agama Islam.

“Tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah. Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk menikmati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang berkata, kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Anthony berkata, janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menekankan sebagai umat Islam, rakyat harus faham bahawa kepimpinan adalah amanah besar daripada tuhan bukan sekadar soal pembahagian jawatan berdasarkan tempoh tertentu.

Jelas beliau lagi, kepimpinan dalam Islam bukan satu jawatan yang boleh dipertandingkan berdasarkan syarat keduniaan semata tetapi ia adalah tanggungjawab yang besar dan perlu dipikul oleh individu yang beriman dan beragama Islam.

“Segala urusan umat hanya boleh dikendalikan oleh kalangan yang beragama Islam dan beriman sahaja dengan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

“Akan tetapi, apabila seseorang pemimpin melakukan perbuatan khianat yang menafikan kelayakannya maka tugasnya hendaklah ditamatkan. Sepanjang sejarah, semua khalifah Islam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin sehingga akhir hayat mereka,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, dalam konteks kerjasama dengan pihak bukan Islam, parti itu tidak menafikan hubungan dengan mereka yang tidak ekstrem dan bersedia untuk menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.

Namun apabila terdapat pihak yang secara terang-terangan menentang prinsip-prinsip Islam seperti yang dilakukan oleh DAP maka kerjasama tersebut harus dihentikan.

“Apabila mereka menegaskan dalam perlembagaannya untuk meminggirkan Islam daripada kedaulatan negara dan meneruskan dasar penjajah terdahulu.

“Di samping itu, para pemimpinnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan Islam di negeri-negeri, walaupun hanya melibatkan penganut Islam sahaja,” kata beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan sedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Bagaimanapun Awnar menegaskan, proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here