KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berpandangan Pakatan Harapan (PH) juga akan membantah suntikan dana (bailout) kepada Sapura Energy Berhad (SEB) sekiranya masih menjadi pembangkang hari ini.
Kata beliau, ia dibuktikan ketika debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu sama tiga tahun lalu.
Ketika itu, ujarnya, Anwar tidak bersetuju dengan syor bailout yang dicadangkan Najib sebaliknya mengesyorkan audit forensik.
Malah, jelasnya, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu juga tidak bersetuju kerana berdiam diri namun galak menggunakan debat terbabit semula untuk mengecam Anwar kononnya telah membuat pusingan `U’.
“Kalau tiga tahun dahulu syor Najib ini diterima mungkin aset, telaga minyak Sapura di luar negara dan saham dalam Sapura-OMV tidak terjual. Itu membantu Sapura bangkit semula,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, tambah Mohd Puad, suntikan dana pinjaman berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB perlu diteruskan meskipun pembangkang ketika ini tidak bersetuju dengan langkah itu.
Disebabkan itu, kata beliau, mereka yang sepatutnya mengelirukan fakta ekonomi boleh dianggap penjenayah ekonomi dan didakwa.
“Malangnya Malaysia tidak ada akta khusus mengenainya,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB bagi membantu memulihkan syarikat itu, sekali gus memastikan kestabilan sektor minyak dan gas negara.
Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan pertikaian banyak pihak selepas PH sebelum ini menentang amalan serupa yang pernah dicadangkan Najib. – MalaysiaGazette