KUALA LUMPUR – Cadangan DAP untuk kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun jelas mencerminkan ‘nafsu’ parti itu.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, ia jelas merungkai satu demi satu perkara dalam Perlembagaan mengikut nafsu DAP sehingga menyebabkan pimpinan PH ‘meloncat’ secara berjemaah.
“Apa yang Ustaz Afnan (Ketua Pemuda Pas) cuba sampaikan adalah betapa berkuasanya DAP dalam Kerajaan Madani sehingga mereka boleh tuntut apa sahaja daripada PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Nak tak nak PMX terpaksa akur.
“Contohnya masa Mesyuarat Agung DAP baru ni Anthony Loke ada bercerita dengan penuh bangga bagaimana dia dapat tekan PMX dan (Datuk Seri) Saifuddin Nasution untuk buang cadangan kerajaan untuk pinda undang-undang berkaitan kerakyatan.
“Dalam beberapa situasi melibatkan umat Islam pun sama juga. Korang tengoklah bagaimana cadangan mewajibkan sijil Halal pun mereka bantah sehingga kabinet akur dan batalkan cadangan tu.
“Ni belum cerita DAP cadang untuk lantik bukan-Islam untuk gubal undang-undang syariah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Nurul Islam berkata demikian mengulas kritikan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengenai pengaruh besar DAP dalam kerajaan mencetuskan reaksi panas daripada Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Nurul Islam berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan oleh kerajaan, banyak lagi yang akan dituntut oleh DAP pada masa akan datang.
Malah, katanya, dalam sedar atau tidak banyak perkata yang akan tergadai sekiranya tuntutan tersebut diteliti oleh kerajaan.
“Bahayanya situasi ni, kita tak tahu apa lagi perkara yang akan mereka tuntut di masa akan datang. Bila DAP tahu mereka berkuasa dan Kerajaan Madani dalam genggaman mereka, semakin liar lah DAP menuntut itu dan ini.
“Kita kena faham, DAP masih lagi tidak menolak agenda utama mereka iaitu Malaysian Malaysia yang bakal menyaksikan hak istimewa orang Melayu dihapuskan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Afnan Hamimi menerusi hantaran di Facebook berkata, satu demi satu Perlembagaan sedang dirungkai dan diubah mengikut ‘selera nafsu’ dan kehendak kerajaan.
Beliau dipercayai merujuk cadangan DAP supaya Perlembagaan dipinda bagi mengehadkan tempoh jaw atan Perdana Menteri selama 10 tahun dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette